Yayasan TM tingkatkan kemahiran digital golongan belia melalui program TMFS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yayasan TM tingkatkan kemahiran digital golongan belia melalui program TMFS

Program TM Future Skills bertujuan meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan para pelajar dari keluarga B40 atau berpendapatan rendah dengan menggabungkan teknologi-teknologi digital ke dalam pengalaman pembelajaran mereka.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Sept - Yayasan TM (YTM) bekerjasama dengan dua lagi sekolah menengah di Semenanjung Malaysia bagi memperluas program TM Future Skills (TMFS) anjurannya. 

 

Program tersebut bertujuan meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan para pelajar dari keluarga B40 atau berpendapatan rendah dengan menggabungkan teknologi-teknologi digital ke dalam pengalaman pembelajaran mereka.

 

Sekolah-sekolah tambahan itu, termasuk SMK Dengkil di Dengkil, Selangor dan SMK Tunku Putra di Batu Pahat, Johor menyertai program berkenaan selepas kejayaan pelancaran sekolah TMFS pertama, SMK Gunung Semanggol (SMKGS) di Perak pada November lalu. 

 

Sekolah-sekolah ini dipilih kerana mempunyai peratusan pelajar daripada keluarga B40 tertinggi di situ dan aktif dalam aktiviti-aktiviti berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

 

Pengarah YTM, Ainol Shaharina Sahar berkata, pihaknya percaya kepada peranan penting golongan belia di Malaysia dalam memacu pertumbuhan negara dan kemajuan masyarakat.

 

"Sebagai sebuah organisasi yang berperanan penting dalam mewujudkan Digital Malaysia, kami kekal teguh dengan komitmen kami untuk memupuk generasi akan datang sebagai penggerak ekonomi digital kita dan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) yang masih berlaku. 

 

"Program TMFS memenuhi komitmen ini dengan mempersiapkan para pelajar dengan kemahiran digital, sambil memberi penekanan kepada kepimpinan, pemikiran reka bentuk dan kemahiran kognitif," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

 

tm
Ainol Shaharina Sahar menandatangani plak perasmian pada majlis pelancaran program TM Future Skills di SMK Dengkil, baru-baru ini.

 

 

Ainol berkata, pihaknya optimis sekolah-sekolah berkenaan akan berevolusi menjadi hab pendidikan, menyebarkan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh secara efektif kepada sekolah-sekolah dan pelajar-pelajar sekitarnya. 

 

"Kami harap menerusi pendekatan ini, ia akan mencetuskan minat para pelajar untuk meneruskan pengajian tinggi dalam bidang teknologi dan digital, justeru memperkasa mereka dengan kemahiran yang diperlukan daripada tenaga kerja Malaysia masa hadapan," katanya.

 

 

TM

 

 

tm

 

 

Bagi mempertingkatkan pengalaman pembelajaran secara imersif, YTM mewujudkan Hab Digital TMFS di sekolah-sekolah tersebut. 

 

Hab-hab ini dilengkapi dengan sumber-sumber seperti PocketLab, kit robotik, pencetak 3D, TV pintar, komputer dan kandungan pembelajaran digital untuk meningkatkan minat pelajarnya dalam penerokaan digital.

 

 

tm

 

 

Mengetengahkan pendekatan komprehensif program TMFS itu, Ainol berkata, pihaknya gembira melihat perkembangan holistik semua sekolah di bawah TMFS School ini, yang merangkumi pembangunan kemahiran lain, daripada pertanian bandar dan latihan vokasional hinggalah kepada keusahawanan. 

 

"Dalam kami terus mengenal pasti lebih banyak sekolah yang berpotensi di seluruh negara, kami berharap program ini akan melahirkan lebih ramai pelajar berbakat yang akan menyumbang kepada pertumbuhan negara sambil membawa Malaysia ke hadapan dalam inovasi digital," katanya. - DagangNews.com