KUALA LUMPUR 17 Jun - Yayasan Hasanah dengan kerjasama Kementerian Kewangan melancarkan Dana Perusahaan Sosial Hasanah (HSEF) 2022 dengan peruntukan RM5 juta bagi memperkasa dan menyokong pembangunan organisasi perusahaan dan inovator sosial.
HSEF 2022 itu disasarkan secara khusnya kepada perusahaan sosial dan merupakan dana ketiga yang disediakan di bawah yayasan itu selepas mereka melancarkan Geran Khas Hasanah 2022 dan dana Arts For All Seasons (ArtsFAS).
Dana itu antara lain bertujuan membantu perusahaan sosial yang diiktiraf untuk meningkatkan keupayaan organisasi.
Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari berkata, kebanyakan perusahaan sosial memiliki aliran tunai, kecairan dan akses terbatas dan ia merupakan penghalang utama untuk mereka berkembang secara mampan.
"Kami berharap usahawan dan inovator sosial akan memanfaatkan dana ini kerana ia juga direka untuk memupuk disiplin kewangan dan mengembangkan kapasiti usahawan untuk meningkatkan impak mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Organisasi yang layak adalah yang berdaftar di Malaysia serta berkeupayaan memberikan impak dalam lima bidang termasuk pendidikan, pembangunan komuniti, alam sekitar, seni dan ruang awam serta ilmu pengetahuan.
Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang sudah diiktiraf sebagai Perusahaan Sosial (Social Enterprise) oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan mereka berpotensi untuk menerima pembiayaan sehingga RM500,000.
Beliau berharap, perusahaan dan inovator sosial yang mempunyai idea-idea menarik atau memerlukan bantuan kewangan untuk mengembangkan perniagaan serta meningkatkan impak kehadiran mereka untuk memohon dana itu.
"Kami juga berharap dapat bekerjasama dan memberikan sokongan kepada perubah dan inovator yang sejajar dengan bidang impak asas kami," katanya.
Permohonan HSEF2022 dibuka sehingga 31 Julai 2022 dan mereka yang berminat untuk memohon boleh melayari https://yayasanhasanah.org/HSEF2022/.
Hanya cadangan daripada perusahaan sosial yang layak akan dinilai dan pemohon disaran untuk meluangkan masa bagi memahami syarat kelayakan di laman web itu. - DagangNews.com








