Westports berdepan beban cukai bagi FY22, CGS-CIMB semak turun TP kepada RM3.78 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Westports berdepan beban cukai bagi FY22, CGS-CIMB semak turun TP kepada RM3.78

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 April - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Westports Holdings Bhd. dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM3.78 daripada RM3.88 sebelum ini selepas kumpulan merekodkan prestasi kewangan kurang memuaskan bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022.

 

Firma itu turut mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) teras bagi FY22 hingga FY24 antara 4 hingga 8% selepas menyemak semula unjuran pertumbuhan volum kontena bagi FY22 kepada 1% tahun ke tahun berbanding 6% sebelum itu.

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisisnya, Raymond Yap berkata, untung bersih teras bagi suku pertama itu adalah di bawah jangkaannya merangkumi 22% dan 23% daripada anggaran firma dan konsensus bagi tahun penuh disebabkan kadar cukai efektif yang lebih tinggi.

 

Katanya, ini terutamanya disebabkan kadar cukai efektif yang melonjak kepada 39% pada suku berkenaan berbanding 24% pada suku pertama 2021 dan luar biasa rendah pada 16% ketika suku keempat 2021.

 

"Kami juga melihat hasil Westports bagi FY22 mungkin berdepan ketidaktentuan ekoran penurunan volum kontena dan juga hasil daripada kotak simpanan yang lemah," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Untung bersih Q1 Westports susut 27% kepada RM151.85 juta

 

Westports merekodkan untung bersih sebanyak RM151.85 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022, susut 27.11% daripada RM208.32 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Keuntungan sebelum cukai juga dipengaruhi oleh pemulihan insurans tidak berulang serta lonjakan kos bahan api sebanyak 52%.

 

Sementara itu, keuntungan kumpulan diheret turun oleh kerugian daripada 50% pelaburan dalam Port Klang Cruise Terminal Sdn. Bhd. dan peruntukan cukai sebanyak RM97 juta disebabkan kadar cukai efektif 39% daripada Cukai Makmur.

 

Menurut Yap, masih terdapat risiko penurunan kepada volum Westports jika pelanggannya tidak beralih kembali dari Northport, atau sekiranya sifar COVID-19 yang berterusan di China menyelubungi trafik untuk tempoh yang lama.

 

"Permintaan bagi perkhidmatan nilai tambah, seperti kotak simpanan dan reefer mungkin akan menurun pada suku akan datang memandangkan dermaga Westports telah sesak daripada hampir 100% penggunaan pada akhir suku keempat 2021 kepada kira-kira 80% ketika ini," tambahnya. 

 

Dalam pada itu, beliau berkata, projek pembesaran Westports 2 (W2) juga masih tertangguh kerana ia masih menanti kerajaan menandatangani perjanjian konsesi, yang mana ia dijangka paling awal menjelang akhir FY22. 

 

Setakat 10.24 pagi ini, harga saham Westports susut 4 sen atau 1.02% kepada RM3.89 dengan 198,000 saham diniagakan. - DagangNews.com