KUALA LUMPUR 22 Feb - Wellspire Holdings Berhad (Wellspire) memperbaharui kontrak pengedarannya dengan QiaQia Food Co. Ltd (QiaQia), pengeluar bijian dan kuaci panggang serta makanan ringan yang dibakar di China.
Kontrak yang diperoleh melalui anak syarikatnya, Bai Li Enterprise Co. Ltd (Bai Li Enterprise), akan meneruskan hak eksklusif Wellspire yang telah mengedarkan produk QiaQia seperti kuaci ChaCha dan produk kekacang di Thailand sejak 2013.
Kontrak pengedaran yang diperbaharui itu berkuat kuasa sehingga 30 Jun 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Wellspire, Mo Guopiao berbesar hati diberi kepercayaan dan diyakini oleh ChiaChia.
“Pembaharuan kontrak ini bukti terhadap kepakaran dan rangkaian pengedaran luas kami menerusi saluran edar tidak langsung yang telah dibentuk lebih sedekad di dalam industri makanan berbungkus untuk pengguna di Thailand.

“Kontrak ini juga mengukuhkan kedudukan kami sebagai pengedar barangan berbungkus terkemuka untuk pengguna di Thailand dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak,” kata beliau.
Menurut Mo, permintaan bagi makanan ringan berkhasiat seperti produk kuaci dan kekacang dijangka meningkat di Thailand, dengan pendapatan isi rumah dan perbelanjaan pengguna kian memulih dalam fasa pasca pandemik.
“Dalam laporan Statista, peneraju penyedia data pasaran dan pengguna berkata hasil pendapatan dalam segmen makanan ringan di Thailand dijangka berjumlah kira-kira AS$1 bilion (RM4.3 bilion) pada 2023.
"Pasaran ini dijangka berkembang secara tahunan dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) pada 2023 hingga 2027 sebanyak 8.32%,” katanya. - DagangNews.com








