KUALA LUMPUR 31 Okt - Vircle memperoleh pusingan pembiayaan bagi mengumpul modal permulaan daripada pelabur utama bersama Kumpulan Modal Perdana (KMP) dan Gobi Partners (Gobi).
Penglibatan Gobi Partners menerusi Gobi Dana Impak Fund (GDIV) yang disokong oleh Khazanah Nasional Bhd merupakan satu inisiatif bagi menyokong ekosistem syarikat pemula niaga yang terdiri daripada usahawan, pemula niaga, modal teroka dan program usaha niaga korporat.
Pengasas Vircle, Gokula Krishnan Subramaniam berkata, pihaknya mencipta platform kewangan yang benar-benar mengutamakan keluarga untuk ditawarkan kepada setiap kanak-kanak.
Katanya, ia menyediakan peluang pembelajaran melalui pengalaman sebelum menerokai dunia sebenar kewangan sambil memberikan ketenangan fikiran kepada ibu bapa.
"Misi kami adalah untuk membiayai satu juta kanak-kanak Malaysia dan sejumlah tiga juta kanak-kanak di seluruh Asia Tenggara dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Kami akan mencapai matlamat ini dengan sentiasa berinovasi dengan kerjasama ibu bapa dan pengawal selia disokong oleh pembiayaan daripada pelabur kami seperti KMP dan GDIV," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Vircle ditubuhkan pada Mac 2021 dengan tujuan untuk membentuk semula pendidikan kewangan dan perbankan untuk kanak-kanak melalui aplikasi Vircle.

Aplikasi itu merupakan alat penting dalam menyemai tabiat wang sepanjang hayat dalam kalangan kanak-kanak, melalui kerjasama dengan sekolah-sekolah utama di seluruh Malaysia.
Sehingga kini, Vircle bekerjasama dengan berpuluh-puluh sekolah swasta dan antarabangsa seluruh negara.
Dengan pembiayaan ini, matlamat Vircle adalah untuk mengembangkan perkhidmatannya kepada sekolah awam di negara ini.
Teknologi kawalan ibu bapa yang inovatif dan proprietari Vircle memperkasakan ibu bapa untuk mengawasi dan menguruskan perbelanjaan anak mereka dengan mudah. - DagangNews.com








