Video muzik Maybank mengenai kesedaran penipuan raih 4 juta tontonan di YouTube | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Video muzik Maybank mengenai kesedaran penipuan raih 4 juta tontonan di YouTube

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Nov - Menghubungkan komuniti melalui muzik, jenaka dan kesedaran dalam satu lagu, video muzik kesedaran penipuan oleh Maybank yang dikeluarkan baru-baru ini bertajuk "Macam Yes, Maybe Not" telah mendapat hampir 4 juta tontonan di YouTube dalam tempoh dua minggu.

 

Video muzik berdurasi 3.40 minit itu bertujuan untuk menguatkan mesej bank kepada orang ramai tentang kepentingan untuk kekal berwaspada dan berhati-hati semasa menjalankan transaksi perbankan dalam talian dan untuk melindungi butiran perbankan peribadi mereka. 

 

Video muzik kontemporari, lucu dan menarik itu adalah parodi pemuzik antarabangsa dan tempatan terkemuka yang menyanyi dengan menyampaikan pelbagai taktik penipuan yang sedang melanda orang ramai dan kaedah melindungi diri daripada penipuan sedemikian.

 

Memandangkan peningkatan penipuan di Malaysia dan di peringkat global sejak pandemik, yang mana lebih ramai individu berhijrah kepada penggunaan perkhidmatan perbankan dalam talian, Maybank berusaha untuk meluaskan kesedaran mengenai kaedah penipuan kepada pelbagai segmen masyarakat, merentasi pelbagai demografi pelanggan termasuk umur, jantina dan etnik.

 

Dengan menggunakan penyanyi parodi Snoop Dodge, Jay Ciao, Rings dan BlekPink sebagai cara kreatif untuk menonjolkan slogan "Macam Yes, Maybe Not", video itu menarik perhatian semua lapisan masyarakat dan inklusif kerana ia merangkumi bahasa utama yang digunakan dalam Malaysia termasuk Bahasa Melayu, Inggeris, Kantonis dan Tamil.

 

‘Macam Yes’ ialah istilah sehari-hari yang biasa digunakan oleh masyarakat Malaysia dan digunakan dalam video muzik ini untuk menyatakan bahawa ramai penipu mengeksploitasi mangsa dengan taktik yang mudah dipercayai. 

 

Oleh itu, "Macam Yes, Maybe Not" adalah mesej mudah untuk sentiasa menyoal diri sendiri mengenai tawaran yang kelihatan terlalu bagus untuk menjadi kenyataan. Ia mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan cubaan penipu untuk menipu orang ramai supaya mendedahkan butiran perbankan peribadi mereka.

 

 

maybank

 

 

Maybank percaya bahawa muzik adalah bahasa universal yang benar-benar menyatukan orang ramai dan video muzik ini merupakan satu lagi kaedah yang berkesan untuk mencapai orang ramai, terutamanya memandangkan lebih 15 juta pangkalan pelanggan Maybank di seluruh dunia. 

 

Sebagai penyokong kuat untuk memacu kesedaran penipuan, Maybank sentiasa memaklumkan orang ramai tentang kempen kesedaran penipuan, inisiatif dan kemas kini ciri keselamatan yang kerap untuk web dan aplikasi perbankan dalam taliannya, Maybank2u. 

 

 

maybank

 

 

maybank

 

 

Maybank juga menggesa orang ramai dan pelanggannya untuk memainkan peranan mereka dalam melindungi diri mereka secara berterusan dengan memastikan butiran perbankan peribadi mereka disimpan dengan selamat dan tidak pernah dikongsi dengan pihak ketiga.

 

Untuk melihat video muzik “Macam Yes, Maybe Not”, sila ke halaman YouTube, Facebook atau Instagram rasmi Maybank. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kaedah melindungi diri anda daripada penipuan, sila layari https://maybank.my/SecurityAwareness  atau ikuti halaman Facebook, Instagram dan Twitter rasmi Maybank. 

 

Jika anda mengesyaki anda telah menjadi mangsa penipuan, segera hubungi talian hotline Penipuan 24 jam Maybank di 03-5891 4744; atau Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional pada 997 (8 pagi-8 malam setiap hari). - DagangNews.com