Uzma sasar untuk muncul sebagai pemain solar bersepadu - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Uzma sasar untuk muncul sebagai pemain solar bersepadu - Kenanga Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 April - Uzma Bhd. menyasarkan untuk muncul sebagai pemain bersepadu dalam tenaga solar dalam tempoh jangka masa panjang bagi mempelbagaikan sumber bukan minyak dan gas kumpulan, menurut Kenanga Research. 

 

Penglibatan sulungnya dalam segmen itu bermula setelah Uzma meraih projek solar 50MW daripada tender projek solar berskala besar (LSS4) tahun lalu, serta pemerolehan Suria Infiniti - pemain kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar yang ditubuhkan sejak 2011.

 

Firma itu berkata, kumpulan menggariskan pelan tindakan 5 tahun untuk mencapai RM1.5 bilion hasil menjelang 2025, yang mana 40% daripadanya dijangka diperoleh daripada hasil bukan minyak dan gas.

 

"Kumpulan sedang menyusun strategi untuk menjadikan solar sebagai pemacu utama pertumbuhan untuk kepelbagaian bukan minyak dan gasnya.

 

"Ini meletakkannya secara tidak langsung sebaris dengan pemain industri tersenarai yang lain seperti Solarvest Holdings Bhd., Samaiden Group Bhd. dan Pekat Group Bhd.," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Ketika ini, perniagaan solar kumpulan mempunyai nilai kontrak bernilai RM935 juta, yang menyaksikan LSS4 (perjanjian pembelian tenaga dan EPCC) sebagai penyumbang utama.

 

Dalam tempoh jangka panjang, Uzma berhasrat untuk muncul sebagai pemain bersepadu solar sepenuhnya dengan memiliki kecekapan operasi dalam 3 bidang utama iaitu EPCC, operasi dan penyelenggaraan (O&M) dan pemilikan aset.

 

Menerusi pertemuan dengan pengurusan kumpulan baru-baru ini, Kenanga Research berkata, pertumbuhan jangka pendek akan dipacu terutamanya menerusi perolehan projek EPCC, serta pengambilalihan dan penggabungan (M&A) legasi perjanjian pembelian tenaga (PPA).

 

"Bagi tempoh jangka pendek, kumpulan menyasarkan untuk mencapai RM500 juta hasil daripada solar menjelang 2025, manakala untuk tempoh sederhana pula, mencapai RM1 bilion hasil pada 2030 daripada penglibatannya dalam tenaga solar," jelasnya.

 

Menurut firma itu, di bawah Hala Tuju Tenaga Boleh Diperbaharui (MyRER), kerajaan menyasarkan untuk mencapai 31% kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2025 manakala 40% menjelang 2035. 

 

Ini mencerminkan lebih daripada 4GW tambahan kapasiti RE pada 2025 manakala lebih 5GW menjelang 2035.

 

"Daripada keperluan RE baharu, lebih 90% dijangka diperoleh daripada solar, menjadikan solar sumber RE yang paling pesat berkembang di Malaysia.

 

"Sudah tentu, ini secara tidak langsung memberi peluang pertumbuhan penglibatan Uzma dalam tenaga solar, di mana ia menjangkakan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam mana-mana program solar akan datang yang akan dilancarkan oleh kerajaan dalam masa terdekat," katanya.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, persaingan dalam segmen tersebut masih kekal sengit memandangkan terdapat lebih ramai pemain industri yang cekap dan mantap. 

 

Namun, secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'outperform' dengan harga sasaran pada 68 sen terhadap Uzma.

 

"Kami percaya apa jua hasil atau usaha Uzma dalam segmen solar ini akan menyediakan pemangkin kepada penarafan semula," tambahnya. 

 

Setakat 9.33 pagi ini, harga saham Uzma menokok 1 sen atau 2.22% kepada 46 sen dengan 96,600 saham diniagakan. - DagangNews.com