Usaha Dayang Enterprise pulihkan Perdana Petroleum dijangka ambil masa - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Usaha Dayang Enterprise pulihkan Perdana Petroleum dijangka ambil masa - HLIB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 April - Strategi Dayang Enterprise Holdings Bhd. untuk memulihkan kembali prestasi Perdana Petroleum Bhd. dijangka memakan masa sebelum ia mencapai sasaran ditetapkan, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research. 

 

Ini kerana katanya, Perdana Petroleum masih berdepan dengan beberapa ketidaktentuan pada suku pertama dan juga dipengaruhi musim tengkujuh.

 

Firma itu berkata, Dayang Enterprise yang memiliki 63.7% pegangan dalam Perdana Petroleum menyasarkan kadar penggunaan armada gabungan sebanyak 35% pada suku pertama 2022 manakala 80% pada suku kedua. 

 

"Bagi FY22, kumpulan menyasarkan untuk mencapai kadar penggunaan gabungan ini sekitar 60% hingga 65% berbanding 49% pada FY21 dan 53% (FY20).

 

"Walaupun, kami sedikit positif dengan prospek kumpulan berikutan perancangannya untuk memulihan Perdana Petroleum, tetapi strategi ini mungkin memerlukan sedikit masa untuk dicapai," katanya dalam nota kajian hari ini. 
 

Hasil taklimat dengan pengurusan kumpulan baru-baru ini, ia menekankan pandemik COVID-19 telah menjejaskan prestasinya pada FY20-FY21 disebabkan masalah tenaga kerja. 

 

Dayang Enterprise turut memberi panduan bahawa FY22 akan menjadi tahun yang lebih baik berikutan prosedur standard operasi (SOP) yang kurang ketat dan hari penggiliran kru yang lebih pendek (disebabkan tempoh kuarantin yang pendek).

 

Malah, kumpulan turut menyatakan nilai kontrak semasanya adalah berjumlah RM1.9 bilion, yang akan memberi pendapatan sehingga akhir FY23, manakala nilai tendernya pula berjumlah RM500 hingga RM600 juta.

 

Bagaimanapun, HLIB berpendapat, prospek Dayang Enterprise masih kekal perlahan pada suku pertama disebabkan musim tengkujuh yang masih berlarutan.

 

Ini mendorong firma itu mengekalkan pandangan 'pegang' terhadap Dayang Enterprise dengan harga sasaran tidak berubah pada 89 sen manakala unjuran pendapatan bagi FY22-FY23 juga kekal tidak berubah.

 

Tetapi, ia menjangkakan prestasi kumpulan akan meningkat pada suku kedua 2022 dan seterusnya.

 

"Prospek bagi kapal sokongan luar pesisir (OSV) juga dijangka lebih baik pada tahun ini memandangkan terdapat sejumlah 336 kapal sokongan akan disewa sepanjang tahun berbanding 289 pada 2021.

 

"Pada masa sama, Petronas telah memberi petunjuk bahawa terdapat permintaan yang konsisten untuk kapal yang menyokong operasi pengeluaran dalam tempoh 3 tahun akan datang," tambahnya.

 

Setakat 11.35 pagi ini, harga sahamnya susut 0.5 sen atau 0.56% kepada 88.5 sen dengan 497,500 saham diniagakan. - DagangNews.com