UPM iktiraf sumbangan rakan industri, komuniti dan warga kampus melalui ICAN 2022/2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UPM iktiraf sumbangan rakan industri, komuniti dan warga kampus melalui ICAN 2022/2023

ICAN turut menganugerahkan kepada pegawai-pegawai akademik dan bukan akademik serta pelajar UPM terbaik yang terlibat dalam projek jaringan industri dan komuniti berimpak tinggi.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Pejabat Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini menganjurkan Majlis Apresiasi Industri dan Komuniti (ICAN 2022/2023) bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan rakan industri, komuniti dan warga kampus UPM sepanjang tahun 2021 dan 2022. 

 

UPM memaklumkan, ICAN 2022/2023 yang merupakan acara dwi-tahunan yang ke-10 itu meraikan mereka yang cemerlang dalam pelbagai aktiviti memasyarakatkan universiti untuk terus memacu pembangunan negara dan kefungsian sosial.

 

Katanya, majlis ini juga sebagai platform untuk meningkatkan motivasi warga kampus yang terdiri daripada pegawai dan pelajar yang terlibat dengan aktiviti jaringan industri dan komuniti untuk terus lebih cemerlang pada masa akan datang.

 

"Kejayaan ini hasil daripada kerjasama pelbagai pihak yang melaksanakan aktiviti berpandukan kepada model “Penta-Helix Engagement” yang menggabungkan hubungan libat sama antara universiti, industri, komuniti, pemegang taruh dan media seperti di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.

 

"Hubungan kerjasama ini telah membuahkan hasil apabila 1,816 jaringan industri dan masyarakat telah berjaya memberikan impak pada tahun 2021 dan jaringan berimpak ini meningkat kepada 2,729 pada tahun 2022," katanya dalam kenyataan media di sini. 

 

Terdahulu, Majlis ICAN dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof Dr Hang Tuah Baharudin dan turut menyampaikan hadiah utama anugerah kepada pemenang.

 

Menurut kenyataan itu, data ini jelas menunjukkan bahawa UPM sangat komited untuk membantu masyarakat di luar kampus melalui pendekatan pemindahan ilmu dan teknologi yang berteraskan kepada penyelesaian masalah setempat dan keperluan industri dan komuniti.

 

"UPM amat mengalu-alukan kehadiran industri dan komuniti di luar untuk lebih kerap datang ke UPM bagi tujuan mendapatkan khidmat nasihat, kepakaran, perkongsian ilmu, lawatan ke ladang, muzium dan lain-lain tujuan. 

 

"UPM juga menggalakkan warga kampus untuk keluar ke lapangan bagi menyantuni komuniti di seluruh pelusuk negeri bagi memastikan setiap komuniti mendapat khidmat pendidikan dan perkongsian ilmu daripada UPM," katanya.

 

UPM berkata, kepelbagaian pakar bidang di universiti itu sama ada pertanian, sains, sains sosial, perubatan, pendidikan dan banyak lagi yang boleh dieksploitasikan kepakaran mereka untuk dimanfaatkan oleh pihak industri dan komuniti. 

 

"Industri yang memerlukan khidmat kepakaran UPM boleh berhubung melalui Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (Cirnet). Manakala, komuniti pula boleh berhubung terus kepada Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC)," katanya.

 

Katanya, ICAN turut menganugerahkan kepada pegawai-pegawai akademik dan bukan akademik serta pelajar UPM terbaik yang terlibat dalam projek jaringan industri dan komuniti berimpak tinggi. 

 

"Projek jaringan terbaik ini telah dinilai oleh ahli panel yang melihat kepada projek berimpak tinggi yang mencapai kepada tahap 4 atau 5 bintang. Projek juga menunjukkan adanya kelestarian dan telah mencapai tahap penghakupayaan dalam komuniti," katanya.

 

Kemuncak majlis ini, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Ekologi Manusia, Institut Biosains dan Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) dinobatkan sebagai pusat tanggungjawab terbaik UPM di atas pencapaian dan pelaksanaan aktiviti jaringan industri dan komuniti yang cemerlang pada tahun 2021 dan 2022.

 

UPM turut menyampaikan sijil pengiktirafan Master Trainer Pengurusan JINM dan Sijil Penghargaan Rakan Strategik dan Pasukan Keterjaminan Makanan IPR-INTAN@UPM yang telah berjaya mewujudkan Pusat Kecemerlangan Industri Pertanian IPR-INTAN@UPM di UPM, baru-baru ini. - DagangNews.com