NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Nov - UOB Malaysia berjaya mengumpul dana sebanyak RM300,000 menerusi acara tahunan mereka Global Heartbeat Virtual Run/Walk untuk membantu meningkatkan kehidupan kanak-kanak kurang bernasib baik menerusi tiga badan amal.
Dana yang dikumpul melalui UOB Heartbeat itu akan diagihkan kepada tiga badan amal iaitu Food Aid Foundation, SOLS 24/7 dan Yayasan Generasi Gemilang bagi membantu lebih 1,300 kanak-kanak dan golongan belia daripada keluarga rentan selama setahun yang terkesan akibat COVID-19.
“Masyarakat rentan, terutamanya kanak-kanak dan belia kurang bernasib baik, merupakan antara yang paling teruk terjejas akibat COVID-19.
"Walaupun ekonomi kini dibuka semula secara beransur-ansur, adalah penting untuk terus menyokong masyarakat ini apabila mereka mula membina semula kehidupan dan kelangsungan hidup mereka.
"Kami berharap wang yang dikumpul melalui UOB Global Heartbeat Virtual Run/Walk ini dapat membantu melakukan perubahan bermakna kepada mereka yang terjejas akibat pandemik selain meringankan beban yang dihadapi pada tempoh yang mencabar ini.” kata Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Wong Kim Choong.

Acara itu memasuki tahun ke-14 penganjurannya dan kali kedua ia diadakan dengan selamat dalam situasi pandemik COVID-19.
Bagi tahun ini, UOB Malaysia menambahkan kriteria penyertaan yang berlangsung selama dua bulan bagi menggalakkan kaitangan mereka serta ahli keluarga mereka mengumpul waktu aktif melalui pelbagai aktiviti kecergasan termasuk berlari, permainan bola, yoga dan banyak lagi.
Sejak bermulanya pandemik, UOB Malaysia telah menderma RM600,000 secara terkumpul melalui MERCY Malaysia kepada hospital bagi menyediakan peralatan perubatan kritikal yang diperlukan.-DagangNews.com







