UOB Malaysia diiktiraf sebagai bank runcit asing terbaik The Asian Banker | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UOB Malaysia diiktiraf sebagai bank runcit asing terbaik The Asian Banker

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Jan - UOB Malaysia dipilih sebagai Bank Runcit Asing Terbaik di Malaysia oleh The Asian Banker pada penyampaian Anugerah Negara 2022 penerbitan serantau tersebut.

 

Pengiktirafan ini diberikan kepada atas pencapaian bank mengembangkan francais pengurusan runcit dan kekayaan melalui peningkatan digital dalam persekitaran operasi mencabar sepanjang tempoh yang ditinjau. 

 

Sebagai contoh, UOB Malaysia merupakan bank pertama di Asia Tenggara menggunakan ciri bersemuka secara maya pada aplikasi perbankan bagi membolehkan pelanggan mengurus keperluan insurans mereka dengan mudah. 

 

Bank juga antara yang pertama di negara ini melancarkan perkhidmatan pembukaan akaun digital melalui aplikasi Mighty yang membolehkan pelanggan membuka akaun bank peribadi pada bila-bila masa.

 

Daripada segi deposit, lembaran imbangan bank juga mencatat pertumbuhan melebihi industri pada 2021.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia, Ronnie Lim berkata, pihaknya diberi pengiktirafan dalam anugerah The Asian Banker, yang mempunyai proses penghakiman yang sungguh teliti.

 

Beliau berkata, pihaknya telah menggabungkan perkhidmatan dalam talian dan luar talian supaya dapat berinteraksi dan melayani pelanggan melalui titik sentuh saluran omni.

 

 

uob
                                                   Ronnie Lim

 

 

“Selama lebih tiga tahun, kami menjalankan strategi transformasi cawangan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan perancangan kewangan dan kekayaan melalui program perhubungan Perbankan Keutamaan dan Kekayaan UOB.

 

"Dalam dua tahun akan datang, kami menyasar untuk menaik taraf dan menempatkan semula lebih banyak cawangan ke lokasi yang lebih sesuai dan mudah diakses untuk pelanggan kami. 

 

"Anugerah ini mengesahkan strategi kami untuk mendahulukan pelanggan, sejajar dengan visi untuk membina model perniagaan mampan yang mengutamakan pembangunan kakitangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengarah Penyelidikan TABInsights The Asian Banker, Chris Kapfer pula berkata, mereka menyukai pendekatan UOB Malaysia yang menguruskan perniagaan dan produk deposit serta pengurusan kekayaannya bukan secara berasingan, tetapi sebagai cadangan saling berkait rapat. 

 

"Bank mencapai kecemerlangan dalam keterlibatan pelanggan secara sistematik bermula dengan proses pengenalan, penglibatan hingga jualan silang sepanjang kitaran hayat penuh perjalanan kekayaan pelanggan," katanya. - DagangNews.com