KUALA LUMPUR 15 Feb - MISC Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM645 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022, peningkatan 39.7% daripada RM461.7 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Pendapatan kumpulan itu pada suku keempat meningkat 35.3% pada RM4.17 bilion berbanding RM3.09 bilion.
Peningkatan pendapatan itu didorong oleh pelbagai segmen, menurut kenyataan syarikat perkhidmatan pengangkutan dan logistik itu di Bursa Malaysia hari ini.
Segmen petroleum dan penghantaran produk terutamanya menyumbang hasil tertinggi hasil daripada kadar pengangkutan dan pendapatan yang lebih tinggi.
Sementara itu, segmen perniagaan luar pesisir mencatatkan peningkatan pendapatan berikutan kemajuan projek yang lebih baik daripada penukaran unit penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) pada suku semasa.
Untung bersihnya untuk tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2022 (FY22) menyusut sedikit 0.46% atau RM1.82 bilion daripada RM1.83 bilion (FY21), manakala pendapatan meningkat 29.9% kepada RM13.87 bilion daripada RM10.67 bilion bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Rajalingam Subramaniam berkata, MISC menrekodkan prestasi kewangan yang positif untuk suku ini didorong oleh daya tahan perniagaan di seluruh kumpulan.
"Kami sebagai satu pasukan akan kekal fokus dan komited untuk meneroka prospek baharu, kerjasama sinergistik dan penyelesaian inovatif.
"Penghargaan ikhlas kami kepada semua pemegang kepentingan dan rakan kongsi kami kerana mengiktiraf komitmen teguh kami untuk memacu kecemerlangan secara konsisten dan mampan di seluruh kumpulan MISC,” katanya.
Kumpulan itu juga telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 12 sen sesaham yang akan dibayar kepada pemegang saham pada 15 Mac 2023, menjadikan pembayaran setahun penuh kepada 33 sen sesaham.
MISC optimis dengan prospeknya dengan mengambil kira peningkatan permintaan Eropah untuk gas asli cecair (LNG), pemulihan permintaan China dan ketersediaan kapal yang ketat serta infrastruktur LNG yang mencapai keputusan pelaburan.
Kumpulan itu, bagaimanapun, menjangkakan pendapatan operasi bagi segmen aset dan penyelesaian gas kekal kukuh, ditaja jamin oleh portfolio piagam jangka panjangnya. -DagangNews.com








