KUALA LUMPUR 26 April - Westports Holdings Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM151.85 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022, susut 27.11% daripada RM208.32 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai juga dipengaruhi oleh pemulihan insurans tidak berulang serta lonjakan kos bahan api sebanyak 52%, menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, keuntungan kumpulan diheret turun oleh kerugian daripada 50% pelaburan dalam Port Klang Cruise Terminal Sdn. Bhd. dan peruntukan cukai sebanyak RM97 juta disebabkan kadar cukai efektif 39% daripada Cukai Makmur.
Pada suku berkenaan, Westports merekodkan hasil sebanyak RM516.36 juta, meningkat 1.6% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Segmen kontena menyumbang 88% daripada hasil dengan volum pemprosesan sebanyak 2.39 juta TEU.
Pengarah Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah berkata, tanpa sekatan pergerakan dan volum yang lebih rendah sedikit pada suku pertama 2022, beserta akses penuh kepada 52,455 slot dermaga kontena dan 4,132 soket reefer, syarikat telah menyelesaikan semua isu kesesakan dermaga pada tahun sebelumnya.
Katanya, perkembangan luaran menjadi semakin mencabar pada suku berkenaan, antaranya, pencerobohan tentera, sekatan, tekanan inflasi, dan penutupan beberapa pelabuhan untuk tempoh masa berbeza di Timur Jauh, secara kolektif menambah cabaran rantaian bekalan yang berterusan.
"Syarikat mengalami peningkatan 52% bagi kos bahan api kerana peralatan operasi terminal kami menggunakan input bahan api yang berharga secara komersial dan tidak disubsidi.
"Meskipun, berdepan pelbagai cabaran, tetapi kumpulan telah pun menaikkan gaji minimum pekerja kepada RM1,500 sebulan sejak 1 Januari 2022, bagi menangani kos sara hidup yang tinggi," jelasnya.
Mengenai prospek masa depan, beliau berkata, kumpulan telah mewujudkan Jawatankuasa Lembaga Pengarah Kelestarian (BSC) pada Januari lalu, yang akan menyelia dasar dan amalan berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta hal-hal kemampanan.
"Dalam mesyuarat keduanya pada April 2022, BSC mengesyorkan dan syarikat kini akan komited kepada aspirasi dan sasaran kemampanan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
"Oleh itu, kami akan memberi tumpuan dan bergantung pada pengurangan intensiti pelepasan dan penyahkarbonan untuk mencapai sasaran dalam tempoh itu," katanya. - DagangNews.com








