Untung bersih MR DIY meningkat kepada RM136.08 juta pada suku keempat FY22 didorong pembukaan cawangan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih MR DIY meningkat kepada RM136.08 juta pada suku keempat FY22 didorong pembukaan cawangan baharu

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Feb - MR DIY Group (M) Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM136.08 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022, meningkat sedikit daripada RM134.55 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagi tempoh itu, pendapatan kumpulan meningkat 9.3% tahun ke tahun kepada RM1.07 bilion daripada RM975.4 juta didorong terutamanya jualan yang lebih positif menerusi pembukaan cawangan baharu, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Rangkaian cawangannya meningkat sebanyak 20% kepada 1,080 bagi tempoh tahun kewangan itu daripada 900 cawangan, yang menyaksikan transaksi meningkat 15.2% kepada 38.1 juta.

 

Untuk tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2022 (FY22), untung bersihnya meningkat kepada RM472.95 juta daripada RM431.83 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat kepada RM3.99 bilion daripada RM3.37 bilion. 

 

Mengenai prospeknya, kumpulan itu optimis dengan tinjauan pada masa akan datang, terutama dengan mengambil kira sentimen positif pasca pandemik COVID-19.

 

Ini diimbangi oleh cabaran tekanan inflasi yang memberi kesan kepada kos sara hidup dan persekitaran kadar faedah, yang kesemuanya terus memberi kesan kepada isi rumah di Malaysia.

 

"Pada tahun ini, memandangkan tekanan kos yang berterusan, kumpulan membuat pelarasan harga kepada penawaran produk terasnya, yang telah membawa kepada peningkatan dalam margin keuntungan kasar pada suku keempat FY22 berbanding awal tahun," katanya.

 

Dengan mengambil kira faktor tersebut, MR DIY menjangkakan margin akan dikekalkan pada FY23 dan juga faedah tambahan daripada iklim inflasi yang bertambah baik pada masa hadapan.

 

Malah, katanya, kumpulan menyasarkan untuk membuka 180 kedai baharu merentas semua jenama pada tahun ini, yang akan menjadikan jumlah rangkaian kedai seluruh negara kepada lebih 1,200 cawangan. - DagangNews.com