Unit Samaiden terima 2 notis timbang tara berjumlah RM12.21 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unit Samaiden terima 2 notis timbang tara berjumlah RM12.21 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Feb - Samaiden Group Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Samaiden Sdn. Bhd. (SSB) menerima dua notis timbang tara daripada Ditrolic Sdn. Bhd. berhubung tuntutan untuk dua pakej kerja bernilai RM12.21 juta.

 

Syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini berkata, SSB telah dilantik sebagai subkontraktor untuk pakej kerja, yang merupakan sebahagian daripada projek loji fotovoltaik solar berskala besar arus ulang-alik 100 megawatt di Kerian, Perak.

 

SSB telah mengeluarkan empat tuntutan adjudikasi untuk pakej terhadap Ditrolic. Adjudikator memutuskan Ditrolic membayar RM2.68 juta bagi pakej kerja pertama (WP3) dan RM1.46 juta untuk pakej kerja kedua (WP4) kepada SSB.

 

Penghakiman kedua bagi pakej kerja berkenaan masih berjalan buat masa ini.

 

Bagaimanapun, menurutnya, jumlah yang diadili belum diterima oleh SSB daripada Ditrolic selepas keputusan adjudikasi.

 

"SSB kemudiannya telah mengeluarkan notis yang diperlukan menurut CIPAA pada 5 Januari 2023 untuk WP3 manakala 13 Januari 2023 dan 16 Januari 2023 untuk WP4, kepada kedua-dua Ditrolic dan pemilik projek, iaitu Kerian Solar Sdn Bhd untuk pembayaran terus kedua-dua jumlah yang diadili yang akan dibuat oleh pemilik projek kepada SSB dalam tempoh 14 hari. 

 

"Namun, sehingga kini, tiada sebarang bayaran diterima oleh SSB sama ada daripada Ditrolic atau pemilik projek," katanya.

 

Pada 8 Februari lalu, SSB menerima notis timbang tara daripada Ditrolic berhubung pertikaian itu, dengan anggaran tuntutan RM8.12 juta dan RM4.09 juta untuk pakej kerja.

 

Sehubungan itu, SSB diminta mencadangkan penimbang tara yang dicalonkan dalam tempoh 30 hari daripada notis tersebut.

 

Samaiden berkata, lembaga pengarah berpendapat timbang tara tersebut dijangka tidak mempunyai sebarang kesan kewangan atau operasi yang material ke atas syarikat.

 

"Oleh itu, syarikat tidak menjangkakan akan menanggung sebarang kerugian yang timbul daripada permulaan prosiding timbang tara selain kos perundangan dan berkaitan dengannya," tambahnya. -DagangNews.com