UMW, TM One tawar penyelesaian awan hibrid bagi terajui perjalanan digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UMW, TM One tawar penyelesaian awan hibrid bagi terajui perjalanan digital

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Sept - UMW IT Services Sdn. Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan UMW, hari ini memeterai perjanjian dengan TM One, cabang perusahaan dan sektor awam Telekom Malaysia Berhad (TM), untuk mewujudkan kerjasama dalam awan hibrid.

 

Perjanjian itu menandakan peringkat seterusnya dalam pelan hala tuju digital dan transformasi UMW untuk menyatukan dan menambah baik seni bina pusat data semasanya. 

 

Ia juga akan melengkapkan proses pemodenan pelbagai aplikasi kumpulan dan menyokong usaha gigihnya untuk mengoptimumkan teknologi dan operasi di seluruh Unit Perniagaan Strategiknya.

 

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Transformasi dan Teknologi Kumpulan UMW Corporation Sdn. Bhd., Shahril Ariffin dan Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim.

 

Turut menyaksikan pemeteraian tersebut, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM,  Imri Mokhtar.

 

Ahmad Fuaad berkata, ketika Kumpulan UMW meneruskan perjalanan transformasinya, adalah penting bahawa infrastruktur dan perkhidmatan teknologi maklumatnya juga dinaik taraf untuk menyokong pelbagai keperluan perniagaan mereka. 

 

"Kami yakin bahawa kerjasama dengan TM One ini akan membawa kepada pengoptimuman pusat data kami dan kecekapan kami dalam mengurus data, meningkatkan kebolehskalaan serta menawarkan pengurusan kos yang lebih baik. 

 

 

umw
Datuk Ahmad Fuaad Kenali

 

 

"Selain itu, awan hibrid menawarkan fleksibiliti, kebolehpercayaan, ketangkasan dan keselamatan data yang lebih baik kepada Kumpulan UMW untuk menyokong pertumbuhan perniagaan kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Imri pula berkata, mereka dapat bekerjasama dengan UMW sekali lagi dalam membolehkan peringkat seterusnya transformasi digital melalui penyelesaian awan hibrid TM. 

 

 

tm
Imri Mokhtar

 

 

tm

 

 

"Sebagai rakan kongsi perniagaan selama lebih 30 tahun, majlis hari ini mengukuhkan kepentingan pendigitalan perusahaan untuk perniagaan Malaysia yang akan membawa kepada pertumbuhan industri dan negara.

 

"Dengan kerjasama itu, kami berharap dapat menyokong dan menyumbang kepada perjalanan digital dan automasi UMW melalui penyelesaian inovatif kami, seperti TM One's Smart Manufacturing dan penyelesaian data besar.

 

"Ia juga menawarkan penyambungan gentian dan sambungan 5G di Taman Pembuatan Bernilai Tinggi UMW dan membawa transformasi digital UMW ke tahap baharu," katanya. - DagangNews.com