KUALA LUMPUR 20 Ogos - UEM Sunrise Bhd akan melupuskan 80.4% pegangannya dalam Roc Union-Proprietary Ltd yang berpangkalan di Afrika Selatan pada harga 142.6 juta rand (RM38 juta).
Kumpulan itu berkata anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, UEM Sunrise South Africa Proprietary Ltd, menandatangani perjanjian pada hari Jumaat (19 Ogos) untuk menjual pegangan itu, bersama-sama dengan tuntutan, kepada Olive Investment Trust.
"Tuntutan itu berkaitan dengan jumlah pendahuluan pemegang saham yang diberikan oleh penjual kepada Roc Union," kata UEM Sunrise dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Pembeli juga merancang untuk memperoleh baki 19.6% pegangan dalam Roc Union yang dipegang oleh pelabur tempatan, kata UEM Sunrise.
Kumpulan itu berkata pelupusan firma Afrika Selatan itu adalah selaras dengan pelan strategik pemulihannya untuk menjajarkan semula operasinya secara geografi dan mengalihkan sumber kepada perniagaan dan kawasan yang menawarkan potensi yang lebih besar.
Saham UEM Sunrise ditutup pada 30.5 sen pada Jumaat, naik satu sen atau 3.39%, menilai pemaju hartanah itu pada RM1.54 bilion. - DagangNews.com








