UEM Group pertimbang lupus perniagaan simen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UEM Group pertimbang lupus perniagaan simen

PETALING JAYA 14 Feb - UEM Group Bhd, anak syarikat Khazanah Nasional, sedang mempertimbangkan untuk menjual unit simennya, menurut laporan Bloomberg memetik sumber yang mengetahui perkara tersebut.

 

UEM sedang bekerjasama dengan penasihat kewangan berkenaan potensi penjualan Cement Industries of Malaysia Bhd (CIMA), kata sumber tersebut yang meminta untuk tidak dinamakan kerana proses itu adalah sulit.

 

Konglomerat infrastruktur dan perkhidmatan tersebut sedang mencari penilaian kira-kira RM1 bilion untuk CIMA dan syarikat dalam industri telah menunjukkan minat, menurut sumber itu.

 

Tambahnya, perbincangan masih di peringkat awal dan UEM boleh memutuskan untuk tidak meneruskan pelupusan itu. 

 

Seorang wakil daripada UEM enggan mengulas ketika diminta Bloomberg.

 

Diasaskan pada 1975, CIMA menjual simen dan konkrit siap campur, dan telah terlibat dalam projek ikonik di Malaysia daripada lebuh raya ke jambatan dan jalan kereta api, seperti yang dipaparkan di laman webnya. 

 

Syarikat itu telah diambil secara persendirian dan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 2008 oleh UEM, menurut kenyataan di Bursa Malaysia sebelum ini.

 

UEM bermula sebagai syarikat pembinaan dan berkembang menjadi sebuah konglomerat yang tertumpu pada lebuh raya, perbandaran dan pembangunan hartanah, kejuruteraan dan pembinaan serta pengurusan aset dan kemudahan, merujuk kepada laman webnya. - DagangNews.com