KUALA LUMPUR 2 Nov - U Mobile telah menandatangani pembiayaan berkaitan kemampanan (SLF) bernilai sehingga RM1.4 bilion dengan CIMB Bank Berhad dan UOB Malaysia.
U Mobile dalam kenyataan media hari ini berkata ia telah menyelaraskan kemudahan perbankan sedia ada kepada pembiayaan berkaitan kelestarian (SLF), yang memaparkan komitmennya terhadap agenda tanggungjawab alam sekitar dan sosial.
Penukaran pinjaman terbabit dipermudahkan oleh CIMB sebagai ejen penstrukturan kelestarian, serta pemberi pinjaman bersama dan pengatur utama kelestarian dengan UOB Malaysia.
Menurut syarikat telekomunikasi itu, perjanjian tersebut sejajar dengan strategi kelestarian syarikat dan ia layak menerima rebat pada kadar faedah pinjamannya berdasarkan pencapaian sasaran prestasi kelestarian (SPT) yang bercita-cita tinggi, tertakluk kepada pengesahan pihak ketiga bebas yang ketat.
Di bawah SPT, U Mobile komited mengurangkan pelepasan karbon Skop 1 dan 2 melalui pelaksanaan projek kecekapan tenaga dan tenaga solar untuk perniagaan dan operasinya.
Syarikat itu menyasarkan untuk mengurangkan keamatan gas rumah hijau sebanyak 7.7% menjelang 2023 dan 11.4% menjelang 2024, berbanding tahun asas 2021.
Ketua Pegawai Kewangan U Mobile, Sandy Tsang berkata U Mobile telah menikmati pertumbuhan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan sebagai sebuah korporat yang bertanggungjawab, syarikat itu melangkah untuk memenuhi akujanji kelestariannya, ‘Towards a Sustainable U’.
“Oleh itu, langkah terbaharu ini menonjolkan komitmen yang kami lakukan dengan memasukkan agenda tanggungjawab alam sekitar dan sosial ke dalam dasar korporat kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Perbankan Borong Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, “SLF ini adalah bukti komitmen kami untuk membantu pelanggan memajukan matlamat kelestarian mereka, sejajar dengan cita-cita CIMB Group untuk menjadi peneraju kelestarian ASEAN di bawah pelan strategik Forward23+ kami.” - DagangNews.com







