Tunku Aminah dilantik sebagai Pengerusi Berjaya Rail | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tunku Aminah dilantik sebagai Pengerusi Berjaya Rail

Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Ismail
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Sept - Unit rel Berjaya Land Bhd, Berjaya Rail Sdn Bhd melantik puteri tunggal Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Ismail sebagai pengerusi.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, Tunku Aminah memegang 30% kepentingan dalam Berjaya Rail yang mencerminkan kepercayaan yang teguh Tunku Aminah terhadap visi, strategi dan potensi syarikat.

 

Tunku Aminah membawa bersama pengalaman yang luas daripada peranan kepimpinan di pelbagai syarikat swasta, termasuk Berjaya Corp Bhd, Berjaya Assets Bhd, Berjaya Capital Bhd, Berjaya Hartanah Bhd, Bukit Kiara Resort Bhd dan REDtone Digital Bhd.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land dan Ahli Lembaga Berjaya Rail, Syed Ali Shahul Hameed berkata, beliau berharap dapat bekerjasama dengan Tunku Aminah bagi merealisasikan potensi Berjaya Rail untuk menilai semula bagaimana orang ramai melakukan perjalanan dan berhubung.

 

Berjaya Rail terlibat dalam Permintaan Maklumat (RFI) MyHSR Corp untuk menggiatkan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan komited untuk bekerjasama erat dengan pihak berkepentingan untuk memastikan kejayaannya. - DagangNews.com