TTM Technologies bina kilang pembuatan pertama di Malaysia | DagangNews Skip to main content

TTM Technologies bina kilang pembuatan pertama di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 April - TTM Technologies, Inc. akan membina sebuah kilang operasinya yang pertama di Pulau Pinang, dengan nilai pelaburan kira-kira RM550 juta sehingga tahun 2025. 

 

Pembukaan kilang tersebut bertujuan memenuhi permintaan tinggi terhadap rantaian bekalan papan litar bercetak (PCB) di luar wilayah China. 

 

Pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi kilang baharunya dibuat berdasarkan pertimbangan yang teliti terhadap pelaburan dan kos operasi, jarak dengan pelanggan dan sokongan rantaian bekalan elektrik dan elektronik (E&E). 

 

Kilang baharu itu akan memberi perkhidmatan kepada pasaran komersial global TTM Technologies termasuk rangkaian komunikasi, pusat data pengkomputeran, dan perubatan, perindustrian dan instrumentasi.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Lim Bee Vian pula berkata, MIDA yakin ekosistem sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) Malaysia yang menyeluruh, keupayaan bakat tempatan, dan keutuhan rantaian bekalan semi-konduktor yang menyokong pertumbuhan jangka panjang, dapat membantu pelabur seperti TTM Technologies untuk mengembang operasi mereka di rantau ini.

 

“Kami menjangka projek TTM Technologies akan membawa kepada penyediaan peluang pekerjaan dan pembangunan keupayaan rantaian bekalan kami untuk memenuhi keperluan segmen industri E&E selain menggalakkan kemunculan inovasi dalam bidang baharu.

 

"MIDA percaya bahawa upacara pecah tanah ini hanyalah titik permulaan kepada masa hadapan yang lebih hebat dan menarik bagi industri dan rakyat tempatan serta pertumbuhan TTM Technologies,” katanya.

 

 

ttm
Thomas Edman

 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TTM Technologies, Thomas Edman pula berkata, pihaknya mempunyai misi untuk menyokong permintaan pelanggan dengan kejuruteraan nilai tambah yang berbeza serta penyelesaian produk PCB di peringkat global. 

 

“Sebagai perintis pengeluaran PCB berteknologi tinggi di Asia Tenggara, TTM Technologies bertindak untuk memenuhi permintaan pelanggan terhadap rantaian bekalan yang berdaya tahan, kepelbagaian serantau dan kapasiti pertumbuhan," katanya.

 

 

ttm

 

 

Kilang berteknologi tinggi dan canggih ini akan dibina di atas tanah perindustrian seluas kira-kira 27 ekar di Taman Sains Pulau Pinang, yang dijangka mengambil masa selama 12 hingga ke 15 bulan diikuti dengan pemasangan peralatan pada pertengahan tahun 2023.

 

Pengeluaran pertama disasarkan bermula pada separuh kedua 2023 sebelum kapasiti penuh di bawah Fasa 1 pada tahun 2025. 

 

TTM Technologies menjangkakan kilang baharu itu menyumbang hasil perolehan sebanyak AS$180 juta (kira-kira RM761.5 juta) pada tahun 2025.

 

Kilang ini juga dalam perancangan untuk dikembangkan kepada Fasa 2 yang mampu meningkatkan pengeluarannya sebanyak 25%.

 

Majlis upacara pecah tanah kilang tersebut dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. - DagangNews.com