Toyota Hilux 2020 kini dibuka untuk tempahan! | DagangNews Skip to main content

Toyota Hilux 2020 kini dibuka untuk tempahan!

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

SHAH ALAM 3 Ogos - UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. mengumumkan orang ramai boleh membuat tempahan bagi Toyota Hilux 2020 yang dipertingkat, memberikan lebih nilai tambah kepada trak pikap paling laris di Malaysia itu.

 

Selain hadir dengan penampilan lebih segar dari luar dan dalam, ia turut menerima naik taraf prestasi dan juga sistem keselamatan. Pelanggan kini boleh memilih dari lima varian Hilux, dengan Double Cab 2.4 E A/T menjadi tambahan penawaran terbaru.

 

Varian Double Cab 2.8 Rouge A/T akan menggantikan Double Cab 2.8 Black Edition ketika ini, sementara Double Cab 2.4 V A/T merupakan naik taraf daripada varian Double Cab 2.4 versi L-Edition.

 

Bagi yang mahukan transmisi manual, varian Double Cab 2.4 G dan Single Cab 2.4 masih tersedia.

 

Tujuh warna diberikan sebagai pilihan bagi Hilux 2020 ini; Bronze Mica Metallic (warna baru), Crimson Spark Red Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown Metallic, Medium Silver Metallic, Silver Metallic dan Super White II.

 

Hilux Single Cab bagaimanapun hanya didatangkan dalam warna Solid White sahaja.

 

hilu

 

PRESTASI DIPERTINGKATKAN

Enjin 1G-FTV 2.8-liter turbodiesel yang digunakan kini telah diberikan penambahbaikan untuk meningkatkan lagi output kuasa dan kuasa kilasnya. Unit berkenaan kini menjana sebanyak 204 PS pada 3,400 rpm (27 PS lebih tinggi), sementara kilas maksimum ialah 500 Nm dan dicapai antara 1,600 rpm hingga 2,800 rpm (tambahan 50 Nm).

 

Walaupun enjinnya lebih berkuasa, kadar penggunaan bahan api tidak meningkat. Malah, kecekapan penggunaan bahan api Hilux 2020 lebih baik disebabkan penggunaan pam minyak dua-peringkat yang secara optimum boleh menukartekanan minyak mengikut kesesuaian.

 

Sebagai tambahan, ciri penyejuk pra-EGR (Exhaust Gas Recirculation) sejukan cecair jenis paip berkembar turut dipasang untuk mengoptimumkan suhu gas EGR.

 

Sistem rak bantuan kuasa bagi stereng Hilux baru pula (kecuali bagi varian Single Cab) kini dilengkapi sistem Variable Flow Control (VFC) yang bertindak mengurangkan beban pada pam stereng kuasa, sekali gus menyumbang kepada penjimatan bahan api.

 

Pada masa yang sama, pemandu akan menikmati rasa stereng yang lebih baik dan natural di dalam kelajuan yang berbeza-beza. Rasanya lebih ringan dalam kelajuan rendah untuk memudahkan kawalan ketika masuk parkir misalnya, dan akan menjadi lebih berat ketika trak bergerak lebih laju untuk memberikan kestabilan dan keyakinan.

 

Hilux baru ini juga datang dengan Limited Slip Differential (LSD) automatik yang membantu melalui sistem kawalan cengkaman (TRC) untuk mengawal brek dan output enjin ketika satu daripada tayar belakang mula hilang cengkaman pada permukaan.

 

Sistem LSD automatik berkenaan diaktifkan ketika dalam mod pemanduan High dan pacuan 2WD dengan kelajuan sehingga 50 km/j.

 

hilu

 

TOYOTA SAFETY SENSE

Selari dengan matlamat Toyota untuk menjadikan kenderaan keluarannya lebih selamat dan mengurangkan kemalangan jalan raya, banyak model-modelnya kini dilengkapi dengan sistem Toyota Safety Sense (TSS).

 

Sistem ini terdiri daripada tiga rangkaian sistem berbeza; sistem pra-perlanggaran (PCS), kawalan melayar radar dinamik (DRCC) serta amaran pertukaran lorong dengan ciri Yaw Assist.

 

jilu

 

REKAAN BARU

Beberapa elemen penggayaan pada Hilux baru ini juga telah diberi sentuhan yang lebih segar, seperti bampar depan, gril serta kemasan lampu kabus. Bagi Hilux paling lengkap, Double Cab 2.8 Rogue, lekuk pada bonetnya juga baru, beserta bahagian skid plate.

 

Sementara itu, varian paling asas pula menerima rim rekaan baru bersaiz 17-inci dan 18-inci. Di bahagian dalam, perubahan paling ketara ialah bagi varian paling lengkapnya yang hadir dengan rekaan dalaman baru meliputi rekaan meter, pencahayaan pada kemasan bukaan pintu serta bahagian kunci yang juga dengan rekaan terkini.

 

Varian paling asas menerima rekaan meter baru dengan paparan maklumat tambahan pada Multi Information Display (MID).

 

TEMPAHAN DIBUKA SEKARANG

Barisan Hilux terbaru ini akan diperkenalkan tidak lama lagi, dan tempahan kini mula dibuka di semua rangkaian pengedar sah Toyota seluruh negara.

 

Harga anggaran bagi model ini bermula dari RM93,880, manakala harga anggaran bagi Model 2.8 Rogue ialah RM148,880; pelanggan yang terawal boleh menikmati harga istimewa RM144,880 yang ditawarkan hanya untuk model Toyota Hilux D/CAB 2.8 Rouge AT 4x4 (jualan tahun 2020) sahaja. Senarai harga lengkap sebenar akan diumumkan selepas pelancaran rasmi nanti. - DagangNews.com