Top Glove masih berdepan persekitaran operasi mencabar, HLIB kurangkan TP kepada RM1.12 dengan saranan 'jual' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Top Glove masih berdepan persekitaran operasi mencabar, HLIB kurangkan TP kepada RM1.12 dengan saranan 'jual'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Jun - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'jual' terhadap Top Glove Corp. Bhd. dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM1.12 berbanding sebelum ini, RM1.33 sesaham.

 

Ini memandangkan kumpulan masih berdepan persekitaran operasi yang mencabar disebabkan situasi ketidakpadanan permintaan-bekalan.

 

Malah, firma itu juga mengurangkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022 (FY22) hingga FY24 antara 4 hingga 42%. 

 

Katanya, semakan semula itu mengambil kira unjuran harga jualan purata (ASP) dan kadar penggunaan yang lebih rendah, serta perbelanjaan operasi yang lebih tinggi. 

 

"Permintaan yang lemah juga telah menyebabkan kadar penggunaan rendah sekitar 60% dan ASP masih mengalami penurunan, walaupun pada kadar yang lebih perlahan.

 

“Peningkatan dalam kos operasi juga menyebabkan berlakunya pemampatan margin, kerana kami berpendapat sukar untuk Top Glove untuk meneruskan keseluruhan peningkatan kos, disebabkan bekalan sarung tangan yang luas tersedia di pasaran," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dari segi ASP, Top Glove masih menjangkakan mengalami penurunan walaupun pada kadar yang lebih rendah iaitu 2 hingga 3% bulan ke bulan berbanding 5 hingga 10% sebelum ini.

 

Harga sarung tangan nitril pada Mei pula adalah sekitar AS$24 per 1,000 keping manakala sarung tangan serbuk dan sarung tangan tanpa serbuk masing-masing berharga AS$21 dan AS$26.

 

Namun, HLIB juga mendapati, jualan ke Amerika Syarikat (AS) telah meningkat 10% bulan ke bulan sejak penarikan balik larangan import pada September lalu.

 

Firma itu bagaimanapun memberi amaran bahawa Top Glove mungkin tidak terlepas daripada persekitaran inflasi yang tinggi kerana kos tenaga kerja dijangka meningkat berikutan semakan gaji minimum baru-baru ini.

 

"Kumpulan menjangkakan kenaikan gaji minimum akan menyaksikan peningkatan kurang daripada 10% kepada komponen kos buruhnya, dan dalam hal ini, kami agak selesa kerana semakan gaji tidak diterjemahkan kepada pelarasan RM300 merentas semua gaji pekerja kerana ada yang dibayar melebihi gaji minimum sebelum ini iaitu RM1,200,” jelasnya.

 

Sebaliknya, menurut HLIB, Top Glove mungkin menerima kesan daripada kos utiliti, gas asli dan bahan yang lebih tinggi yang menyebabkan berlakunya tekanan margin kerana mekanisme pelepasan kos masih belum pulih.

 

"Kami dapati kos bahan mentah yang semakin meningkat untuk sarung tangan nitril tidak dapat diteruskan sepenuhnya disebabkan bekalan sarung tangan nitril yang banyak terdapat di pasaran.

 

"Gas asli, elektrik dan gaji yang lebih tinggi juga dianggarkan menyebabkan peningkatan 4% kepada jumlah kos pengeluaran," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma itu turut mengingatkan syarikat pengeluar sarung tangan getah itu berisiko untuk dikeluarkan daripada konstituen FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dalam semakan separuh tahunan yang dijangka pada Disember 2022.

 

Analisisnya mendapati Top Glove berada pada kedudukan ke-37 dengan permodalan pasaran RM10.3 bilion.

 

"Sekiranya harga sahamnya terus merosot dan Top Glove jatuh di bawah tempat ke-35, ia boleh dikeluarkan daripada FBM KLCI dalam semakan separuh tahunan akhir tahun ini," tegasnya.

 

Setakat 12.14 tengah hari ini, harga sahamnya susut 1 sen atau 0.79% kepada RM1.25 dengan 16.22 juta saham diniagakan. - DagangNews.com