TNG Digital, Principal Malaysia tambah lapan dana pelaburan baharu di GOinvest | DagangNews Skip to main content

TNG Digital, Principal Malaysia tambah lapan dana pelaburan baharu di GOinvest

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jun - TNG Digital Sdn Bhd dengan kerjasama Principal Asset Management Berhad (Principal Malaysia) memperkenalkan lapan dana unit amanah baharu melalui GOinvest, platform pelaburan digital pada Touch 'n Go eWallet .

 

Menurut satu kenyataan media hari ini, TNG Digital berkata pengguna Touch ‘n Go eWallet boleh mula melabur dalam dana unit amanah dari serendah RM10 tanpa tempoh terkunci atau jumlah terhad.

 

Tambahnya, pengguna boleh menyediakan pelan simpanan biasa dengan mudah melalui fungsi Auto Cash-In untuk melabur jumlah tetap setiap bulan bagi mengurangkan purata risiko untuk pulangan yang stabil.

 

Semua dana unit amanah tersebut adalah gabungan dana konvensional dan patuh Syariah, berdasarkan tempoh pelaburan jangka pertengahan hingga jangka panjang dengan pulangan sehingga 12.35% setahun, berdasarkan prestasi pulangan tahunan tiga tahun sehingga 31 Mac 2023.

 

 

goinvest

 

 

Dana unit amanah dengan risiko konservatif

  • Principal Islamic Global Selection Moderate Conservative Fund (Class D)

 

Dana unit amanah dengan risiko sederhana

  • Principal Islamic Lifetime Enhanced Sukuk Fund (Class D)
  • Principal Islamic Global Selection Moderate Fund (Class D)

 

Dana unit amanah dengan risiko agresif

  • Principal Asia Pacific Dynamic Mixed Asset Fund (Class D)
  • Principal Islamic Global Selection Aggressive Fund (Class D)
  • Principal Asia Pacific Dynamic Income Fund (Class D)
  • Principal Global Titans Fund (Class D)
  • Principal DALI Global Equity Fund (Class D)

 

 

Alan Ni (kiri) dan Munirah Khairuddin (kanan)
Alan Ni (kiri) dan Munirah Khairuddin (kanan)

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata GOInvest yang dilancarkan pada Julai 2022 menawarkan rumusan pelaburan mampu milik yang boleh diakses dengan mudah oleh semua rakyat Malaysia dan memberi fleksibiliti untuk melabur melalui Touch 'n Go eWallet.

 

“Dana pasaran wang Islam Principal merupakan penawaran produk utama kami dan telah memberi perkhidmatan kepada lebih 100,000 pengguna sehingga kini.

 

“Kami akan terus bekerjasama dengan Principal Malaysia untuk memperkenalkan produk pelaburan inklusif yang boleh memupuk tabiat menabung dan melabur untuk rakyat Malaysia,” tambahnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Negara Principal Malaysia, dan Ketua Perniagaan Islam Kumpulan, Munirah Khairuddin menambah bahawa kerjasama tersebut membolehkan pengguna mengakses peluang pelaburan antarabangsa dan tempatan.

 

“Dengan ini, pengguna Touch ‘n Go eWallet kini boleh membina portfolio pelaburan optimum yang disesuaikan dengan selera risiko mereka melalui ekosistem eWallet yang matang,” ujar beliau.

 

Touch ‘n Go eWallet adalah eWallet pertama menerima kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk beroperasi sebagai pengendali pasaran yang diiktiraf, memberi keselamatan dan jaminan kepada pengguna untuk melabur di platform itu.  

 

Untuk maklumat lanjut tentang dana unit amanah baharu, layari https://www.touchngo.com.my/goinvest/. - DagangNews.com