KUALA LUMPUR 30 Jun - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) hari ini menerbitkan RM4 bilion sukuk wakalah di bawah nilai nominal Program Nota Jangka Sederhana Islamik (IMTN) berdasarkan prinsip syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, TNB berkata, CIMB Investment Bank Bhd. dan Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB) merupakan Penasihat Utama Bersama dan Penyusun Utama Bersama untuk Program IMTN.
Malah, CIMB dan Maybank IB juga merupakan pengurus utama bersama/penaja jamin utama untuk Sukuk Wakalah bernilai RM4 bilion.
Menurut TNB, sukuk wakalah tersebut adalah terbitan ketiga daripada program IMTN dan diterbitkan dalam 5 peringkat.
"Bagi peringkat pertama, ia membabitkan terbitan sebanyak RM1.12 bilion bagi tempoh 7 tahun diikuti terbitan kedua, RM300 juta (10 tahun) dan seterusnya RM880 juta (15 tahun), RM500 juta (20 tahun) dan RM1.2 bilion (25 tahun)," katanya dalam pemfailan itu hari ini.
Terbitan RM4 bilion sukuk wakalah itu tidak memberi kesan terhadap saham terbitan dan berbayar TNB dan atau pemegangan utama TNB.
Selepas terbitan sukuk itu, peminjaman disatukan TNB akan meningkat sebanyak RM4 bilion.
"Sukuk ini juga tidak memberi kesan ketara kepada keuntungan, pendapatan sesaham (EPS) dan aset bersih sesaham TNB bagi tahun kewangan semasa," tambahnya. - DagangNews.com








