TMC Life Sciences Group catat perolehan RM201 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TMC Life Sciences Group catat perolehan RM201 juta

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Nov - Perolehan TMC Life Sciences Group (TMCLS) meningkat kepada RM201 juta atau sebanyak 6% untuk untuk tahun kewangan 2021 berbanding tahun sebelumnya didorong oleh pengendalian intensiti kes yang lebih tinggi dan perkhidmatan tambahan yang disediakan.

 

Pengendali hospital swasta itu berkata, EBITDA Kumpulan meningkat sebanyak 17% tahun ke tahun kepada RM39 juta dipacu oleh hasil yang lebih tinggi dan kos yang lebih rendah, termasuk perbelanjaan jualan dan pemasaran yang lebih rendah. 

 

" Keuntungan Selepas Cukai Kumpulan meningkat sebanyak 86% tahun ke tahun kepada RM20.3 juta kebanyakannya disumbangkan oleh perbelanjaan cukai yang lebih rendah yang timbul akibat perubahan dalam Cukai Keuntungan Harta Tanah daripada 5% kepada 10% dalam tempoh yang sama sebelumnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

TMC Life Sciences Berhad (TMCLS) merupakan salah satu kumpulan penjagaan kesihatan yang paling pesat berkembang di Malaysia. 

 

Ia telah disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad sejak 2005. Kumpulan menyasarkan untuk menjadi “Sistem Penjagaan Kesihatan Bersepadu Pilihan di Asia Tenggara”, menyampaikan penjagaan berkualiti, berasaskan nilai kepada pesakit dan pelanggannya. 

 

TMCLS telah memulakan pelan pengembangan utama, dengan kapasiti dan keupayaan tambahan yang ketara termasuk pembesaran hospital utamanya, Hospital Thomson Kota Damansara kepada hospital 535 katil dengan pusat pakar tambahan, dewan bedah, pusat kanser dan tempat letak kereta bertingkat. 

 

Sementara itu ia berkata, pembesaran Hospital Thomson Kota Damansara (THKD) kini disasarkan untuk memulakan operasi pada suku ketiga tahun kewangan 2022 berikutan kelewatan akibat pelaksanaan PKP dan fasa Pelan Pemulihan Nasional.

 

"Apabila siap, THKD akan mempunyai jumlah Keluasan Lantai Kasar (GFA) sebanyak 847,430 kaki persegi yang merangkumi 535 katil, 10 dewan bedah, 154 klinik pesakit luar, pusat Kanser & Theranostik serba baharu, Pusat Kesihatan Mata, Pusat Perubatan Nuklear, Pusat Pencegahan Kesihatan dan Perubatan keluarga serta tambahan 1,000 ruang tempat letak kereta.

 

"Bangunan baharu itu juga merupakan hospital pertama di Malaysia yang menerima Penarafan Bangunan Hijau Perak Sementara daripada GreenRE, selaras dengan matlamat syarikat untuk mencapai piawaian cemerlang dalam pengurusan dan kelestarian alam sekitar," katanya. -DagangNews.Com