TM rangkul 2 anugerah di Alpha SEA ke-10 | DagangNews Skip to main content

TM rangkul 2 anugerah di Alpha SEA ke-10

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Telekom Malaysia Berhad (TM) baru-baru ini berjaya membawa pulang dua anugerah atas kecemerlangannya dalam perhubungan pelabur dan tadbir urus korporat di Anugerah Tahunan Institusi Pelaburan Alpha Southeast Asia (SEA) yang ke-10.

Bagi edisi Malaysia, TM muncul sebagai pemenang bagi kategori Pengurusan Kanan Sokongan Perhubungan Pelabur Terbaik (Best Senior Management Investor Relations Support) dan Laporan Tahunan Terbaik (Best Annual Report).

Selain merangkul anugerah berkenaan, syarikat itu turut tersenarai sebagai tiga teratas dalam kategori Polisi Dividen Paling Konsisten (Most Consistent Dividend Policy) dan Tanggungjawab Sosial Korporat yang Strategik (Strategic Corporate Social Responsibility (CSR)).

 

Pengerusi TM
Mohd. Bakke Salleh

 

Mengulas mengenai kemenangan tersebut, Pengerusi TM, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh berkata, pengiktirafan itu menggambarkan keyakinan pemegang saham serta pihak-pihak berkepentingan terhadap syarikatnya. 

“Kami amat berbesar hati menerima anugerah-anugerah ini dan menghargai undian yang diberikan oleh para pemegang saham serta pihak-pihak berkepentingan. 

“Anugerah-anugerah ini juga ditujukan buat seluruh warga TM atas usaha mereka tanpa mengenal penat lelah dalam memberi khidmat kepada negara, sebagai penyedia sambungan dan infrastruktur digital Malaysia.

“Walaupun syarikat berdepan cabaran susulan pandemik global COVID-19 yang tidak dijangka ini, kami tetap fokus untuk mengukuhkan kedudukan kewangan agar terus kekal dan memberi nilai buat pemegang-pemegang saham kami,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini. 

Pemenang-pemenang bagi anugerah tersebut telah dipilih melalui undian tahunan yang dianjurkan oleh Alpha SEA Magazine, di mana undian tersebut dikumpulkan daripada para pelabur dan penganalisis dari seluruh rantau Asia.

Undian dipilih berdasarkan inovasi produk atau perkhidmatan, peningkatan milikan pasaran, kepimpinan dalam industri, prestasi kewangan, prestasi yang konsisten, kepimpinan eksekutif dan tadbir urus korporat sementara anugerah bagi Eksekutif Terbaik adalah berdasarkan kepada kepimpinan dan visi peribadi. 

Peserta-peserta terdiri daripada pengurus dana yang mempunyai kepentingan pelaburan di Asia Tenggara, pelabur institusi utama, syarikat-syarikat insurans, dana pencen, dana bagi lindungan nilai, bank-bank swasta, broker ekuiti dan pendapatan tetap serta penganalisis jualan dan belian.

Sejak edisi pertamanya pada tahun 2011, TM telah membawa pulang pelbagai kejayaan termasuk lima kali kemenangan bagi Urusan Perhubungan Pelabur Terbaik (Most Organised Investor Relations) dan tiga kali bagi Tanggungjawab Sosial Korporat yang Strategik Terbaik (Best Strategic CSR).

Selain itu, TM turut merangkul dua kali anugerah bagi Laporan Tahunan Terbaik (Best Annual Report) dan dua mantan Ketua Pegawai Kewangan TM sebelum ini telah dianugerahkan sebagai Ketua Pegawai Kewangan Terbaik (Best Chief Financial Officer). - DagangNews.com