TM, Cisco bentuk kerjasama strategik bangunkan platform inovasi 5G, transformasi PKS di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TM, Cisco bentuk kerjasama strategik bangunkan platform inovasi 5G, transformasi PKS di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Jun - Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Cisco International Limited hari ini mengumumkan kerjasama strategik baharu sebagai sebahagian daripada program Country Digital Acceleration (CDA) Cisco untuk mempercepatkan hala tuju Malaysia ke arah menjadi negara yang dipacu teknologi dan menjadi peneraju digital di rantau ini.

 

Kedua-dua pihak menandatangani perjanjian kerjasama untuk membuka jalan bagi projek-projek utama yang memberi tumpuan untuk membantu negara membangunkan platform inovasi 5G serta mempercepatkan penggunaan dan transformasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia.

 

Inisiatif-inisiatif ini telah diperkenalkan di majlis menandatangani perjanjian yang dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa serta dihadiri oleh ketua setiausaha kementerian,  Datuk Seri Mohammad Mentek; Pengerusi Interim Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar; Presiden Asia Pasifik Jepun dan Greater China (APJC) Cisco, Dave West dan Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Hana Raja.

 

Program CDA Cisco adalah kerjasama strategik yang dijalinkan bersama negara-negara di seluruh dunia untuk mempercepatkan agenda pendigitalan negara-negara terlibat dan memberikan nilai-nilai baharu kepada negara tersebut, perniagaan dan rakyatnya. 

 

Program ini bersandarkan kepada kerjasama sektor awam dan swasta merentasi pelbagai sektor, termasuklah rangkaian negara, pendidikan, dan peniagaan dan komuniti pintar, dengan membawakan penyelesaian digital yang merupakan suatu cabaran. 

 

Inisiatif pendigitalan yang dilaksanakan dijadikan penyelesaian yang boleh dirujuk dan menyumbang kepada ekosistem Cisco lebih luas, yang kini terdapat di 44 buah negara seluruh dunia.

 

Program CDA di Malaysia telah diumumkan sebagai sebuah rangka kerja kerjasama antara Cisco dan MyDigital Corporation pada Mei 2022. Ia sejajar dengan MyDIGITAL, Pelan Tindakan Ekonomi Digital kerajaan, yang bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia, dengan tumpuan untuk memacu transformasi digital dalam sektor awam, membina infrastruktur digital, dan memupuk bakat digital yang berdaya saing.

 

Kerjasama TM dan Cisco memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, termasuk transformasi digital sektor awam, khususnya pendidikan yang akan dilancarkan kelak, transformasi digital untuk penyedia perkhidmatan, memfokuskan kepada inovasi 5G dan transformasi digital untuk PKS.

 

Dalam pada itu, Imri berkata, TM berbesar hati menjadi syarikat pertama yang bekerjasama dengan Cisco dalam membawa program CDA ke Malaysia, yang berpotensi memberi manfaat kepada perusahaan, pengguna dan lebih 400,000 PKS. 

 

"Kerjasama ini dibina atas kerjasama 17 tahun TM dan Cisco dan akan menjadi yang pertama daripada pelbagai kerjasama “Innovation Sandbox” yang akan dipacu TM, dalam usaha kami untuk merealisasikan aspirasi Digital Malaysia dan objektif 5G untuk negara," katanya.

 

Dave pula berkata, teknologi memainkan peranan penting dalam memperkasakan masa depan yang inklusif untuk semua. 

 

"Program CDA kami di Malaysia menumpukan kepada merealisasikan pelan tindakan ekonomi digital negara dengan menerajui pembangunan berteraskan teknologi dan infrastruktur 5G, mempercepatkan transformasi digital PKS dan memupuk bakat teknologi maklumat generasi akan datang yang akan terus menyokong hala tuju negara," katanya. - DagangNews.com