TikTok, WeChat ancaman besar terhadap Amerika Syarikat | DagangNews Skip to main content

TikTok, WeChat ancaman besar terhadap Amerika Syarikat

WASHINGTON 6 Ogos – Pentadbiran Presiden Donald Trump menggandakan langkah untuk membanteras aplikasi China yang `tidak dipercayai’ daripada rangkaian digital Amerika Syarikat dan melabelkan TikTok dan WeChat sebagai `ancaman besar’.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo berkata, langkah-langkah “Rangkaian Bersih” menumpu kepada lima perkara dan merangkumi tindakan menghalang pelbagai aplikasi China, selain syarikat telekom China daripada mengakses maklumat sensitif mengenai rakyat dan perniagaan Amerika.
 

pom
                                                                                               Mike Pompeo


Pengumuman Pompeo adalah susulan kenyataan Trump yang mengancam untuk mengharamkan TikTok, lapor Reuters.

Aplikasi perkongsian video yang sangat popular itu menjadi tumpuan penggubal undang-undang AS dan pentadbiran Trump berhubung kebimbangan terhadap keselamatan negara, menambah buruk ketegangan sedia ada Washington dan Beijing.

“Dengan syarikat induk berpangkalan di China, aplikasi seperti TikTok, WeChat dan lain-lain adalah ancaman besar terhadap data peribadi rakyat Amerika, malah alat untuk CCP (Parti Komunis China) untuk menapus kandungan,’’ kata Pompeo.

Dalam wawancara dengan agensi berita kerajaan Xinhua semalam, Menteri Luar China Wang Yi berkata, Amerika Syarikat `tidak berhak’ untuk menubuhkan “Rangkaian Bersih” dan menyifatkan tindakan Washington itu `kes tulen membuli’.

“Sesiapa boleh melihat dengan jelas niat AS adalah untuk melindungi kedudukan monopolinya di dalam teknologi dan merompak negara lain daripada hak sewajarnya untuk membangunkan teknologi,’’ kata Wang.

Menjelang usaha pemilihan semula Trump sebagai presiden pada November ini, hubungan AS-China berada di paras paling rendah sekarang dalam tempoh berdekad-dekad.

Hubungan menjadi tegang akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia, pertambahan aktiviti ketenteraan China di Laut China Selatan, cengkaman makin keras ke atas Hong Kong dan layanan buruk ke atas umat Islam Uighur, selain lebihan dagangan China dan persaingan di dalam teknologi.

Pompeo berkata, Amerika Syarikat sedang berusaha menghalang syarikat telekom China, Huawei Technologies Co Ltd daripada memasang atau boleh dimuat turun aplikasi AS paling popular ke dalam telefon buatan Huawei.

“Kami tidak mahu syarikat-syarikat bersekongkol di dalam pelanggaran hak asasi manusia Huawei atau perkakas perisikan CCP,’’ kata Pompeo tanpa menyebut syarikat AS secara khusus.
 

hua


Pompeo berkata Jabatan Negara akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan AS untuk melindungi data rakyat AS dan harta intelek Amerika, termasuk hasil penyelidikan vaksin COVID-19, dengan menghalang akses ke sistem berasaskan awn yang dikendali syarikat seperti Alibaba, Baidu, China Mobile, China Telecom, dan Tencent.

Menurut Pompeo beliau menyertai Peguam Negara William Barr, Setiausaha Pertahanan Mark Esper, dan pemangku Setiausaha Keselamatan Tanahair Chad Wolf dalam mendesak penggubal peraturan telekom AS atau Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan supaya menamatkan kebenaran kepada china Telecom dan tiga syarikat lagi daripada menyediakan perkhidmatan daripada dan ke dalam Amerika Syarikat.

Katanya, Jabatan Negara juga berusaha memastikan China tidak boleh menjejaskan maklumat yang diutus menerusi kabel dasar laut yang menghubungkan Amerika Syarikat kepada internet global.

Amerika Syarikat telah melobi lama Eropah dan sekutu-sekutunya supaya menghentikan Huawei daripada rangkaian telekomunikasi mereka. Huawei menafikan ia menjadi perisik untuk China dan menyatakan Amerika Syarikat mahu menghalang pertumbuhannya disebabkan tiada syarikat Amerika mampu menawarkan teknologi seumpamanya pada harga berdaya saing. – DagangNews.com