Zetrix bekerjasama dengan Heitech Padu dalam projek teknologi maklumat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zetrix bekerjasama dengan Heitech Padu dalam projek teknologi maklumat

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Zetrix AI Bhd akan menyediakan "rumusan hadapan" dalam kolaborasi projek teknologi maklumat (IT) akan datang bersama syarikat milik sebahagiannya sebanyak 19.19%, Heitech Padu Bhd.

 

Kedua-dua syarikat tersebut pada Isnin telah menandatangani perjanjian tambahan bagi memperincikan peranan masing-masing dalam kerjasama yang pertama kali dimeterai pada April 2024.

 

Sementara itu, Heitech akan menyediakan rumusan belakang dalam kerjasama mereka, menurut makluman kedua-dua syarikat di Bursa Malaysia.

 

Perjanjian tambahan ini dimeterai kurang seminggu selepas laporan media menyatakan bahawa kerajaan tidak menyambung kontrak Zetrix untuk mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kepada pekerja asing.

 

Ketika itu, Zetrix merujuk kepada kejayaan bidaan Heitech untuk membangunkan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), yang turut merangkumi perkhidmatan pengeluaran PLKS.

 

Kedua-dua syarikat ini mempunyai "kerjasama berterusan" yang bermula sejak Oktober lalu, menurut kenyataan Zetrix.

 

Namun begitu, tidak jelas sama ada Zetrix akan terus menyediakan perkhidmatan PLKS seperti sebelum ini melalui laman web MyEG, tetapi menggunakan kontrak NIISe yang diperoleh oleh Heitech.

 

 

Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe)

 

 

Pesaing

Zetrix dan Heitech bukan satu-satunya pemain dalam sektor PLKS.

 

Syarikat lain, Bestinet Sdn Bhd, mengendalikan platform lain yang dikenali sebagai Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), dan telah menyediakan perkhidmatan PLKS yang serupa sejak 2018.

 

Pada Oktober tahun lalu, Bestinet mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri untuk meneruskan operasi FWCMS dan mengeluarkan permit kerja tersebut untuk tempoh enam tahun.

 

Kerajaan akan terus menggunakan FWCMS, yang ditujukan untuk pengurusan pekerja asing, sehingga 2031. Ia menjangkakan sistem NIISe — yang turut meliputi pengurusan pekerja asing serta semua perkhidmatan digital imigresen lain — akan mula beroperasi pada 2028. Kontrak NIISe oleh Heitech Padu tamat pada Oktober 2029.

 

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporan terdahulu telah menyuarakan kebimbangan terhadap pertindihan antara FWCMS dan NIISe, serta membangkitkan ketidakaturan berhubung penganugerahan konsesi kerajaan kepada Bestinet pada 2018.

 

Dalam perkembangan berasingan, Bursa Malaysia bulan lalu telah menegur Zetrix dan para pengarahnya kerana mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berkaitan lanjutan kontrak PLKS pada 2023 — lanjutan terakhir sebelum kontrak itu ditamatkan, dipercayai bagi memberi laluan kepada FWCMS dan NIISe.

 

Saham Zetrix ditutup susut 2.5 sen atau 2.79% kepada 87 sen pada Isnin, menjadikan modal pasaran syarikat sebanyak RM6.69 bilion. Kaunter ini telah merosot lebih 9% tahun ini, terkesan oleh berita penamatan kontrak yang menyumbang kira-kira 5% daripada hasilnya.

 

Saham Heitech pula susut tiga sen atau 1.9% kepada RM1.55, menjadikan modal pasarannya sebanyak RM215.74 juta. Kaunter ini telah jatuh sebanyak 38% setakat tahun ini. - DagangNews.com