KUALA LUMPUR 11 Feb – Zdata Technologies Co. menafikan dakwaan fasiliti pusat data hiper skalanya di Gelang Patah, Johor menjadi punca pencemaran habuk dan potensi kekurangan bekalan air minuman seperti dilaporkan baru-baru ini.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu menjelaskan laporan media yang mengaitkan tapak pembinaannya sebagai sumber pencemaran adalah tidak tepat.
Katanya, sebarang isu berkenaan berkemungkinan berpunca daripada pembangunan lain yang sedang dijalankan di lot tanah bersebelahan.
Menurut Zdata, ketika ini hanya terdapat aktiviti pembinaan minimum di tapaknya yang boleh menyumbang kepada pencemaran habuk.
"Setakat ini, syarikat telah membangunkan 18 ekar tanah dan masih menunggu penyerahan baki 20 ekar daripada pemaju induk," katanya dalam kenyataan itu.
Artikel Berkaitan: Protes pertama pembinaan Pusat Data, penduduk di Gelang Patah dakwa berlaku pencemaran
Baru-baru ini kira-kira 50 penduduk daripada empat taman perumahan berhampiran mengadakan protes aman mendakwa berlaku pencemaran habuk akibat aktiviti pembinaan di pusat data berkenaan.
Zdata seterusnya berkata, pembinaan pusat data kecerdasan buatan (AI) itu dilaksanakan dalam empat fasa.
"Fasa 1 telah siap pada 4 Februari lalu, manakala Fasa 2 kini hampir selesai dengan bangunan utama dan infrastruktur telah disiapkan, dan hanya kerja-kerja kecil berbaki," katanya.
Syarikat itu turut memberi jaminan kepada penduduk berhampiran bahawa Fasa 3 dan Fasa 4 hanya akan dimulakan selepas penyerahan tanah diterima.
"Selain itu, fasiliti berkenaan direka untuk menggunakan sumber air alternatif seperti air kitar semula dan tidak akan menggunakan bekalan air domestik negeri," tambahnya lagi.
Zdata menegaskan komitmennya untuk mematuhi piawaian alam sekitar dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi memastikan pembangunan pusat data tersebut tidak menjejaskan komuniti setempat. - DagangNews.com








