Zaiful Ariffin diumumkan sebagai peneraju stesen berita Astro AWANI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zaiful Ariffin diumumkan sebagai peneraju stesen berita Astro AWANI

Zaiful Ariddin (dua dari kanan) bersama Ashwad Ismail berbual dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis iftar di Putrajaya, pada 25 Februari lalu.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 3 Mac - Astro Malaysia Holdings Berhad mengumumkan pelantikan Zaiful Mohd Ariffin sebagai Pemangku Ketua Pengarang Astro AWANI berkuat kuasa serta-merta.

 

Pelantikan itu sekali gus mengesahkan laporan DagangNews.com pada 23 Februari lalu yang menamakan Zaiful sebagai pengganti Ashwad Ismail dalam menerajui kepimpinan editorial stesen berita tersebut. Ashwad pada tarikh sama menyertai media kerajaan sebagai Ketua Pengarah Penyiaran.

 

BERITA BERKAITAN: Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyiaran RTM

 

Zaiful sebelum ini memegang jawatan Editor Eksekutif (Komersial dan Kandungan Berjenama) dan merupakan antara perintis yang terlibat dalam penubuhan Astro AWANI pada 2007 sebagai saluran berita dan hal ehwal semasa 24 jam pertama negara.

 

Astro Awani dalam laporannya memetik Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith sebagai berkata, pelantikan tersebut dibuat susulan pengunduran penyandang jawatan itu baru-baru ini.

 

Menurut beliau, Zaiful merupakan seorang pemimpin editorial yang dihormati dengan pengalaman lebih tiga dekad merangkumi bidang kewartawanan, penyiaran televisyen dan operasi bilik berita.

 

“Sepanjang 18 tahun bersama Astro AWANI, beliau memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju editorial organisasi serta memperkukuh reputasinya dalam industri media tempatan.

 

“Dalam peranan terkininya sebagai Editor Eksekutif, Zaiful mengetuai perkhidmatan editorial di samping memacu inisiatif pengembangan pengewangan dan pengkomersialan kandungan rangkaian.

 

“Pemikiran strategik beliau, digabungkan dengan kepakaran mendalam dalam operasi bilik berita serta komitmen tinggi terhadap kewartawanan berkualiti, diyakini mampu terus mempertingkat mutu dan inovasi editorial Astro AWANI,” katanya dalam kenyataan tersebut.

 

Zaiful yang berasal dari Kuala Terengganu juga dikenali dalam kalangan pengamal media sebagai sahabat yang peramah, pernah menjadi pemain bola yang mahir dan sering memenangi pertandingan karaoke. - DagangNews.com