KUALA LUMPUR 21 Okt – Mahkamah Tinggi di Shah Alam membenarkan permohonan Apple 99 Development Sdn Bhd untuk mengenepikan keputusan adjudikasi yang memerintahkan pembayaran lebih RM75.46 juta kepada kontraktor Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd.
Dalam keputusan yang dibuat pada 17 Oktober 2025 itu, mahkamah turut mengarahkan Kerjaya Prospek membayar sebanyak RM15,000 kepada Apple 99, anak syarikat milik penuh Yong Tai Bhd sebagai kos.
"Mahkamah turut menolak permohonan Kerjaya Prospek untuk menguatkuasakan keputusan adjudikasi tersebut, dengan tambahan kos sebanyak RM5,000 juga diperintahkan kepada Kerjaya Prospek," kata Yong Tai dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Kerjaya Prospek sebelum ini telah memulakan prosiding adjudikasi terhadap Apple 99 bagi menuntut bayaran sebanyak RM105.14 juta berserta faedah tertunggak di bawah Seksyen 15(1)(b) dan (d) Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 Akta CIPAA.
Namun pada 9 Mei 2025, adjudikator hanya memperakui tuntutan sebanyak RM75.46 juta — satu angka yang lebih rendah berbanding tuntutan asal.
Apple 99 kemudian memfailkan permohonan untuk mengetepikan keputusan tersebut, manakala Kerjaya Prospek cuba untuk menguatkuasakannya.
Kedua-dua permohonan tersebut telah diputuskan serentak oleh mahkamah minggu lalu, memihak sepenuhnya kepada Apple 99.
Yong Tai seterusnya berkata, sebarang perkembangan material berhubung litigasi ini akan diumumkan dari semasa ke semasa. - DagangNews.com








