KUALA LUMPUR 31 Jan - Kumpulan Weststar milik Malaysia melalui usaha sama Weststar-GAP Aviation, menandatangani kontrak perkhidmatan pengangkutan helikopter bernilai RM177.78 juta dengan syarikat minyak dan gas (O&G) Australia, Santos Ltd.
Weststar-GAP merupakan usaha sama antara Timor GAP-Timor Gas Petroleo dan Weststar Aviation Timor.
Operasi di bawah kontrak itu dijangka bermula pada 1 Februari 2025.
Kontrak yang diatur untuk tempoh awal 12 bulan dengan pilihan dua lanjutan enam bulan akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan helikopter bagi menyokong operasi luar pesisir Santos di wilayah Bayu-Undan.
Weststar-GAP berkata, perjanjian tersebut menandakan pencapaian penting dalam strategi yang lebih luas untuk meningkatkan perkhidmatan penerbangan luar pesisir di Timor Leste, dengan prospek pertumbuhan ke kawasan perairan Timor Leste dan Australia bagi menyokong syarikat O&G multinasional Itali, ENI dan Sunda Gas.
Jumlah nilai potensi saluran projek yang dijangka oleh Weststar-GAP dalam tempoh 10 tahun akan datang dianggarkan melebihi RM1.77 bilion, sekali gus menunjukkan peluang jangka panjang yang signifikan daripada kerjasama ini.
"Untuk melaksanakan kontrak ini, Weststar-GAP akan menggunakan dua helikopter Leonardo AW189 yang akan dikhaskan untuk perkhidmatan pertukaran kru Medevac, beroperasi antara Dili, Timor Leste dan Darwin, Australia, di bawah pendaftaran pesawat Malaysia (9M), sepenuhnya mematuhi peraturan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
"Usaha ini bukan sahaja menonjolkan kecemerlangan penerbangan Malaysia di peringkat global, tetapi juga memperkukuhkan kerjasama penerbangan serantau," katanya dalam satu kenyataan.
Weststar-GAP komited untuk membangunkan bakat penerbangan Timor Leste dengan melabur dalam program latihan untuk juruterbang, jurutera dan kakitangan tempatan, bagi memastikan mereka memenuhi standard global seperti IOGP 690.
Inisiatif berkenaan bertujuan membina tenaga kerja yang mahir dan mampu berdikari serta mencipta peluang kerjaya jangka panjang dalam industri.
Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim berkata, kontrak itu mengukuhkan kekuatan perkongsian dengan Timor GAP dan menunjukkan kepercayaan yang diberikan oleh peneraju industri seperti Santos.
"Kebolehan kami untuk menyampaikan rumusan penerbangan bertaraf dunia yang disesuaikan dengan keperluan unik sektor minyak dan gas adalah bukti kepada kecemerlangan operasi dan komitmen kami terhadap keselamatan.
"Melalui program latihan menyeluruh dan inisiatif peningkatan kemahiran, kami mahu memperkasakan bakat tempatan dan menyumbang kepada kemandirian penerbangan negara," ujarnya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, perkongsian Weststar-GAP dan Santos adalah bukti potensi kuat untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan perniagaan antara Malaysia, Timor Leste dan Australia.
"Perkongsian ini menjadi contoh cemerlang tentang apa yang boleh dicapai apabila dua negara bekerjasama untuk matlamat bersama.
"Usaha sama ini juga menyerlahkan peranan syarikat-syarikat Malaysia yang semakin meningkat di pasaran global, sebagai bukti pendirian pro-industri, pro-perniagaan dan pro-pelaburan kerajaan Malaysia," katanya dalam ucapan semasa majlis menandatangani perjanjian di Timor Leste. - DagangNews.com








