KUALA LUMPUR 6 Feb – WCT Holdings Berhad berhasrat menerbitkan sukuk wakalah bernilai RM5 bilion bagi menyokong keperluan pembiayaan dan pengurusan modal jangka panjangnya secara syariah.
Kumpulan tersebut berkata, cadangan dokumen dan maklumat yang berkaitan program nota Islam itu sudah dimaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 6 Februari 2026.
Langkah berkenaan juga jelasnya, adalah selaras dengan garis panduan yang ditetapkan terhadap penerbitan Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai di bawah Kerangka Lodge and Launch (LOLA).
"Program ini membolehkan penerbitan sukuk wakalah jenis senior atau tetap, dengan jumlah agregat tertunggak tidak melebihi RM5 bilion pada satu-satu masa," maklum WCT kepada Bursa Malaysia.
Di samping itu kata kumpulan berkenaan, cadangan tersebut dinyatakan jelas sebagai program yang berjangka hayat berterusan dengan jenis senior akan mempunyai tempoh matang minimum satu tahun.
Sementara jenis tetap pula bersifat kekal, namun penerbitan pertama dijangka dilaksanakan dalam tempoh 90 hari perniagaan daripada tarikh pendaftaran atau tempoh lain yang ditetapkan oleh SC.
Firma MARC Ratings Berhad tambah WCT, sudah memberikan penarafan kredit awal sebagai A+IS bagi sukuk wakalah senior dan A-IS bagi sukuk wakalah tetap, masing-masing dengan prospek positif.
"Pada masa yang sama, nota Islam berkenaan juga boleh diterbitkan kumpulan ini sama ada secara berpenarafan, tidak berpenarafan atau gabungan kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan itu.
Hasil terbitan sukuk akan digunakan bagi tujuan patuh Syariah termasuk modal kerja, perbelanjaan modal, pelaburan dan tujuan korporat am kumpulan, serta pembiayaan semula hutang yang sedia ada.
AmInvestment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad dilantik oleh WCT untuk bertindak sebagai penasihat utama bersama, penyusun utama bersama dan pengurus utama bersama sukuk ini.
Selain itu, AmBank Islamic Berhad dan Maybank Islamic Berhad pula sudah dilantik secara rasmi sebagai penasihat syariah bersama. - DagangNews.com








