Wasco Greenergy dijangka catat CAGR, keuntungan bersih teras 16% dalam tempoh tiga tahun - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wasco Greenergy dijangka catat CAGR, keuntungan bersih teras 16% dalam tempoh tiga tahun - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 JanWasco Greenergy (WG) diunjurkan mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) keuntungan bersih teras (CNP) sebanyak 16% bagi tempoh tiga tahun dari FY24 hingga FY27E, disokong oleh pertumbuhan hasil yang mampan serta pengembangan margin keuntungan, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran pertumbuhan CNP tersebut didorong oleh CAGR hasil sebanyak 7%, di samping peningkatan margin bersih teras Kumpulan WG kepada 9.7% pada FY27E, berbanding 7.6% pada FY24.

 

Katanya, pertumbuhan hasil dijangka dipacu oleh beberapa faktor utama termasuk pengisian semula buku pesanan dandang dan turbin stim secara konsisten, selari dengan peningkatan trend penyahkarbonan global.

 

"Potensi manfaat limpahan daripada projek tenaga boleh baharu (RE) berkapasiti 181.25MW yang diluluskan di bawah mekanisme Feed-in Tariff (FiT); dan pertumbuhan permintaan yang stabil bagi sistem penjana turbin stim juga dijangka menjadi pemacu pertumbuhan itu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Maybank IB, selain pertumbuhan hasil, prestasi pendapatan WG turut dijangka diperkukuh oleh pengurangan kos kewangan selepas penyenaraian IPO, serta penghapusan kepentingan minoriti (MI) susulan pengambilalihan baki pegangan dalam WTSB.

 

"Pada penilaian semasa sekitar 10x PER berdasarkan EPS FY26E, penganalisis berpandangan WG menawarkan peluang menarik kepada pelabur untuk mendapatkan pendedahan kepada sektor tenaga boleh baharu (RE) yang sedang berkembang pesat," katanya.

 

Tambahan pula, Bajet 2026 telah mengumumkan perancangan untuk memperkenalkan tambahan 300MW kuota bagi projek bioenergi dan hidro di bawah mekanisme FiT 2.0.

 

Walaupun perincian lanjut masih belum diumumkan, perkembangan ini dilihat berpotensi meningkatkan jumlah pasaran boleh alamat (TAM) WG, khususnya dalam segmen projek EPCC biojisim- DagangNews.com