Waktu operasi tambahan berpotensi tingkatkan hasil 99 Speed Mart sehingga 1.2% kata CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Waktu operasi tambahan berpotensi tingkatkan hasil 99 Speed Mart sehingga 1.2% kata CIMB Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jun - Pengendali rangkaian pasar mini, 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd berpotensi catat pertumbuhan hasil sehingga 1.2% dari 2025 hingga 2027 disokong cadangan melanjutkan waktu operasinya.

 

Sebahagian besar cawangannya telah pun mula dibuka satu jam lebih awal sejak hampir setahun lalu, dan CIMB Securities menganggarkan, lanjutan masa operasi itu akan melibatkan baki 15% hingga 20% daripada kedai yang belum melaksanakannya, sekali gus menyumbang kepada peningkatan jualan kedai sedia ada.

 

“Kami melihat perkembangan ini secara positif, kerana kami percaya lanjutan waktu operasi akan meningkatkan kemudahan kepada pengguna dan seterusnya meningkatkan hasil bagi setiap kedai,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Minggu lalu, 99 Speed Mart mengumumkan kedainya kini akan mula dibuka pada jam 9 pagi berbanding 10 pagi sebelum ini, bagi menyesuaikan diri dengan corak pembelian pengguna yang semakin berubah.

 

99 Speed Mart kini mempunyai lebih 2,800 cawangan di seluruh negara.

 

CIMB Securities menjangkakan keuntungan bersih teras pengendali pasar mini itu akan berkembang sebanyak 11.9% pada 2025, disokong peningkatan hasil sebanyak 8.8%.

 

Pertumbuhan itu akan didorong peningkatan jualan kedai sedia ada sebanyak 1.4%, yang memberikan gambaran tentang tahap penerimaan pelanggan terhadap operasi kedai sedia ada, serta penambahan bersih sebanyak 250 cawangan baharu.

 

Firma penyelidikan itu, mengekalkan saranan "beli" terhadap saham syarikat itu, dengan menyatakan pegangan pasaran kukuh 99 Speed Mart dalam segmen peruncitan pasar mini.

 

Menurut data Bloomberg, lapan daripada 10 firma penyelidikan yang mengulas mengenai saham ini memberi penarafan "beli", manakala dua lagi memberi saranan "pegang" dengan harga sasaran RM2.57 sesaham. - DagangNews.com