KUALA LUMPUR 15 Julai — Vsolar Group Berhad sekali lagi melanjutkan tempoh penggunaan baki dana sebanyak RM27.9 juta yang dikumpulkan menerusi terbitan hak saham berserta waran pada 2020 lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menjelaskan projek loji biomassa dan biogas yang menjadi fokus pelaburan itu masih belum lagi memulakan sebarang usaha pembinaan sehingga kini.
Sehubungan itu, lanjutan tempoh selama 12 bulan lagi diperlukan bagi membolehkan pengurusan menilai semula daya maju komersial projek berkenaan sebelum baki hasil kutipan digunakan sepenuhnya.
"Kelewatan penggunaan dana itu berpunca daripada perubahan ketara dalam landskap tenaga boleh diperbaharui (RE) negara sejak pelaksanaan program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0," kata Vsolar.
Pada masa sama, syarikat tersebut berkata rangka kerja kawal selia bagi projek biomassa dan biogas turut berubah, termasuk mekanisme peruntukan tarif galakan (FiT) serta kuota RE yang ditawarkan kerajaan.
Perkembangan itu menyebabkan pihak pengurusan perlu membuat penilaian berkala terhadap andaian komersial projek, termasuk dalam aspek bekalan bahan mentah, dan keperluan perbelanjaan modal.

Justeru, Vsolar berpandangan adalah lebih berhemat meneruskan proses penilaian bagi memastikan projek tersebut benar-benar berdaya maju sebelum sebarang keputusan pelaburan muktamad dilaksanakan.
"Syarikat turut mendedahkan yang kerja pembangunan dan pembinaan loji masih belum dimulakan setakat tarikh pengumuman ini dibuat," tambahnya. Jumlah keseluruhan dana itu mencecah RM36.9 juta.
Bagaimanapun, pihak pengurusan sudah membelanjakan RM9.04 juta manakala baki daripada terbitan hak itu dapat digunakan dalam tempoh lanjutan baharu selama 12 bulan berdasarkan penilaian semasa.
Sepanjang tempoh itu, Vsolar akan memberi tumpuan kepada usaha memastikan bekalan yang mampan, mencapai unjuran hasil dan pulangan serta mengekalkan daya maju komersial dan operasi projek.
Menurut syarikat itu lagi, lembaga pengarah akan terus memantau perkembangan projek sepanjang tempoh lanjutan berkenaan termasuk kemungkinan kerja-kerja tersebut tidak berdaya maju selepas enam tahun.
"Sekiranya berlaku, syarikat akan mempertimbangkan untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi mengubah penggunaan baki dana yang masih belum dimanfaatkan," katanya. - DagangNews.com








