KUALA LUMPUR 7 Feb - Volvo Car Malaysia mencatatkan rekod baharu dalam jualan kenderaan elektrik sepenuhnya (BEV) pada tahun 2024, dengan BEV menyumbang 30 peratus daripada jumlah jualan, meningkat sebanyak 18 peratus berbanding tahun 2023.
Pencapaian itu turut melepasi penanda aras global Volvo Cars yang menyasarkan jualan BEV sebanyak 23 peratus.
Model BEV dan plug-in hybrid (PHEV) merangkumi 83 peratus daripada jumlah jualan runcit Volvo Car Malaysia pada tahun 2024, meningkat berbanding 71 peratus pada 2023.
Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan Volvo Car Malaysia sebagai peneraju dalam jualan kenderaan elektrik di pasaran tempatan dan global dan hasrat syarikat untuk mencapai jualan antara 90 hingga 100 peratus kereta elektrik menjelang 2030.
Volvo Car Malaysia merupakan peneraju dalam kenderaan elektrik, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga dalam pasaran global Volvo Cars.
Sejak tahun 2020, Volvo Car Malaysia hanya menawarkan varian elektrik sepenuhnya atau hibrid elektrik bagi semua model baharu.
Pelanggan di Malaysia yang mahu memilih model dengan enjin pembakaran dalaman juga boleh memilih antara trenkuasa PHEV atau hibrid ringkas (MHEV).
Pada tahun lalu, Volvo Car Malaysia mencatatkan jualan sebanyak 1,953 unit kenderaan, dengan model MHEV membentuk kurang satu perlima daripada jumlah jualan tahunan.

Sebagai perbandingan, pada 2023, MHEV menyumbang satu pertiga daripada jualan syarikat.
Pengarah Jualan Volvo Car Malaysia, Chris Tan berkata, walaupun berdepan persaingan sengit dalam industri tahun lalu, pihaknya bangga kerana dapat terus menggerakkan visi pengangkutan peribadi yang selamat dan lestari.
"Pengenalan kenderaan elektrik sepenuhnya kami, Volvo EX30, telah mendapat sambutan menggalakkan dengan kenderaan yang diimport sepenuhnya (CBU) habis terjual sebelum pemasangan tempatan bermula.
"Kini, kami mempunyai portfolio yang lebih fokus bagi kenderaan elektrik sepenuhnya di Malaysia, dengan pelancaran model kami yang seterusnya, Volvo EX90," katanya dalam satu kenyataan.
Volvo EX90 bakal menjadi SUV elektrik sepenuhnya terbesar syarikat dan dilengkapi dengan teknologi keselamatan Volvo Cars yang paling maju setakat ini.
Ciri-ciri inovatif seperti Light Detection and Ranging pengkomputeran teras serta pemantauan pemandu dan penumpang, memastikan tahap keselamatan tertinggi dalam industri.
Sepanjang tahun 2024, Volvo Car Malaysia juga memperluaskan skop dan skala pengalaman eksklusif untuk pelanggan.
Ini termasuk sesi pemanduan khas Volvo EX30 semasa pelancarannya, pengalaman pemanduan keselamatan Volvo yang pertama, serta kejohanan Volvo Padel Open yang julung kali diadakan.
Di peringkat global, Volvo Cars mencapai rekod jualan baharu dengan 763,389 unit terjual pada tahun 2024, meningkat 8 peratus berbanding 2023.
Syarikat juga mencatat pertumbuhan ketara dalam jualan kenderaan elektrik dengan 175,194 unit BEV dan 177,593 unit PHEV terjual, meningkat masing-masing sebanyak 54 peratus dan 16 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Secara keseluruhan, kenderaan elektrik merangkumi 46 peratus daripada jumlah jualan Volvo Cars secara global pada tahun 2024.
Jualan model elektrik sepenuhnya sahaja menyumbang 23 peratus, meningkat daripada 16 peratus pada tahun 2023.
BEV kekal sebagai tunjang utama strategi produk Volvo Cars.
Dengan lima model elektrik sepenuhnya telah dilancarkan di peringkat global, syarikat merancang untuk memperkenalkan lima lagi model baharu pada masa akan datang.
Tahun ini, Volvo Cars akan melancarkan antara muka pengguna baharu untuk semua model Volvo yang dibina sejak tahun 2020 dengan sistem operasi Android, menjadikan pengalaman pengguna lebih selaras dengan generasi kenderaan elektrik sepenuhnya yang baharu. - DagangNews.com








