VoltAero bangunkan fasiliti pemasangan pesawat elektrik hibrid serantau di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

VoltAero bangunkan fasiliti pemasangan pesawat elektrik hibrid serantau di Sarawak

Foto ihsan VoltAero
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Julai — VoltAero dari Perancis bakal membangunkan kemudahan pemasangan pesawat elektrik hibrid rantau Asia Tenggara dan pusat inovasinya untuk pasaran Malaysia di Sarawak.


Firma perintis penerbangan hibrid negara tersebut dalam keluarga pesawat Cassio itu berkata, usaha berkenaan dijalin dengan kerjasama antara SEDC Energy (SEDCE) dan ACI Groupe dari Perancis.


Sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, kedua-dua SEDCE dan ACI Groupe turut menyatakan minat mereka untuk memperoleh pegangan ekuiti dalam VoltAero serta menjadi pelabur strategik.


"Pelaburan ini membentuk asas perkongsian strategik yang lebih luas yang bertujuan untuk menyokong pembangunan penerbangan bersih di seluruh rantau Asia-Pasifik," katanya dalam satu kenyataan.


VoltAero memeterai surat hasrat projek berkenaan dengan SEDCE yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri itu, Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) pada satu program diadakan di Putrajaya.


Majlis tersebut turut disaksikan sendiri oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipi dan Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain.


Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Teknikal VoltAero, Jean Botti berkata, perjanjian itu menggariskan visi bersama untuk mewujudkan pusat pemasangan tercanggih di Sarawak.


Ia bakal membangunkan pesawat Cassio VoltAero, model yang menggunakan pendorongan hibrid elektrik untuk pengangkutan serantau secara selamat, senyap, cekap dan mesra alam, serta latihan juruterbang.


“Perkongsian ini merupakan pencapaian utama bagi VoltAero dan kami berbangga terlibat dalam proses peralihan global kepada gaya pengangkutan udara dengan pengurangan pelepasan karbon,” kata beliau. 


Tambahnya, penubuhan hab serantau di Malaysia membolehkan ia mengembangkan kapasiti pengeluaran serta menyampaikan permintaan serantau selain pemindahan teknologi dan kemahiran ke pasaran Asia.


Sementara itu, Abdul Aziz menjelaskan bahawa Sarawak memiliki kedudukan unik untuk menjadi peneraju utama serantau dalam teknologi dan inovasi yang mampan termasuk segmen penerbangan secara lestari.


Melalui kerjasama dengan VoltAero itu katanya, Malaysia mampu berada di barisan hadapan dalam aspek perusahaan pembuatan pesawat penerbangan generasi akan datang dan pembangunan tenaga bersih.


“Ia menyokong cita-cita lebih luas meletakkan Malaysia sebagai hab penerbangan hijau, sejajar matlamat nasional untuk penyahkarbonan, pemindahan teknologi dan pembangunan tenaga kerja mahir,” katanya. - DagangNews.com