KUALA LUMPUR 17 Mac - Ahli perniagaan Victor Chin Boon Long menuntut penjelasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung serbuan ke atas kediamannya dan beberapa premis berkaitan pada 13 Mac lalu, walaupun telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan melalui firma guamannya, Krish Maniam & Co. Advocates & Solicitors pagi ini, serbuan tersebut dijalankan oleh PDRM bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) susulan pelbagai dakwaan berkaitan manipulasi korporat yang turut dikaitkan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, dalam operasi tersebut, pihak berkuasa telah menyita tiga kenderaan milik syarikatnya selain beberapa harta dan barangan berharga lain bagi membantu siasatan.
Victor Chin menegaskan beliau sebelum ini telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, termasuk kembali ke Kuala Lumpur pada 29 Disember 2025 atas permintaan polis bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan yang dikemukakan terhadapnya.
Menurutnya, beliau telah memberikan kenyataan penuh kepada pihak polis sebelum ditahan reman selama tiga hari oleh Pasukan Petugas Khas Anti-Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman.
Beliau kemudiannya dibebaskan selepas tempoh reman tersebut.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan keperluan pihak berkuasa untuk menyerbu kediamannya sedangkan beliau telah memberikan keterangan kepada penyiasat AMLA serta sentiasa boleh dihubungi oleh pihak berkuasa.
“Pihak AMLA mengetahui lokasi saya dan mempunyai cara untuk menghubungi saya pada bila-bila masa. Jadi mengapa perlu menyerbu rumah saya?” katanya dalam kenyataan itu.
Beliau turut mempersoalkan berapa banyak lagi agensi akan terlibat dalam siasatan berkenaan serta menyifatkan situasi tersebut telah mewujudkan suasana yang tidak sihat berdasarkan dakwaan yang menurutnya tidak berasas.
Bagaimanapun, bagi memastikan kebenaran dapat dibentangkan secara jelas, beliau telah melantik Krish Maniam & Co. Advocates & Solicitors sebagai penasihat undang-undang.
Menurutnya, semua bukti dan dokumen sokongan yang menunjukkan beliau tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang didakwa sebagai “mafia korporat” akan diserahkan kepada firma guaman tersebut selepas 19 Mac 2026. - DagangNews.com








