Victor Chin petik nama Anthony Loke, bekas KPN dalam warkah maaf terkait isu ‘Corporate Mafia’ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Victor Chin petik nama Anthony Loke, bekas KPN dalam warkah maaf terkait isu ‘Corporate Mafia’

Dari kiri, Anthony Loke, Victor Chin dan Tan Sri Razarudin Husain
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 Mac - Ahli perniagaan Victor Chin Boon Long, yang kini menjadi tumpuan siasatan berkaitan sindiket ‘corporate mafia’, menulis warkah permohonan maaf terbuka kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

 

Chin berkata beliau kesal apabila gambar-gambarnya bersama Loke di beberapa majlis awam telah tersebar dan disalahgunakan oleh pihak tertentu.

 

Menurutnya, pertemuan tersebut berlaku ketika beliau menghadiri beberapa acara anjuran MMAG Holdings Bhd semasa memegang jawatan sebagai pengarah eksekutif syarikat logistik itu.

 

“Perkara terakhir yang saya mahu adalah keadaan saya menjejaskan reputasi atau kedudukan awam anda, walau sedikit pun,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Akaun dibekukan, siasatan dipergiat

Kenyataan itu hadir ketika pihak berkuasa memperhebat siasatan terhadap Chin dan rakan-rakannya, termasuk tindakan membekukan lebih 500 akaun bank yang disyaki mempunyai kaitan dengannya.

 

Akaun-akaun tersebut turut melibatkan pihak yang mungkin memiliki atau menjalankan transaksi saham MMAG Holdings, NexG Bhd dan NexG Bina Bhd.

 

Perkembangan ini susulan laporan Bloomberg yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digunakan oleh sekumpulan ahli perniagaan yang digelar ‘corporate mafia’, termasuk Chin, untuk menguasai syarikat tersenarai.

 

Bagaimanapun, SPRM menafikan dakwaan tersebut, manakala Chin turut menolak sebarang penglibatan dan menyifatkan dirinya sebagai mangsa.

 

Permohonan maaf kepada tokoh dan rakan korporat

Dalam kenyataan sama, Chin turut memohon maaf kepada rakan-rakan ahli lembaga dan pengarah lain, termasuk Razarudin yang pernah berkhidmat secara singkat sebagai pengerusi eksekutif NexG Bina tahun lalu.

 

“Kejadian yang berlaku menempatkannya dalam kedudukan di mana beliau terpaksa berundur lebih awal daripada jangkaan. Saya amat kesal penglibatannya terjejas sebegini,” katanya.

 

Beliau turut menyebut beberapa individu lain termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Khairul Adib dan Ng Keoh Chai, bekas Penolong Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Perakaunan Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.

 

“Kepada semua yang disebut, dan mereka yang tidak disebut tetapi turut terkesan, satu-satunya kaitan anda dengan situasi ini hanyalah mengenali saya, bekerja dengan saya atau mempercayai saya. Untuk itu, saya benar-benar memohon maaf,” katanya. - DagangNews.com