Vetri Madani beri kelebihan daya saing dalam pasaran kerja, kata Ramanan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vetri Madani beri kelebihan daya saing dalam pasaran kerja, kata Ramanan

Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, Datuk Shamir Aziz dan tetamu pada majlis pelancaran Vetri Madani di Kuala Lumpur pada 25 April 2026.
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 27 April - Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) melancarkan Vetri Madani, inisiatif pembangunan kemahiran bersasar yang bertujuan memperluas akses kepada latihan berstruktur serta peluang pekerjaan kepada komuniti India Malaysia.

 

Program yang menerima peruntukan RM10 juta daripada kerajaan melalui HRD Corp itu dijangka memberi manfaat kepada 8,000 peserta di seluruh negara. Ketika ini, tumpuannya terarah kepada dua segmen komuniti iaitu pencari kerja serta mereka yang mahu melengkapkan diri dengan kemahiran baharu.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan yang hadir merasmikan program berkenaan di Brickfields pada Sabtu sempena Karnival Vetri Madani berkata, inisiatif itu memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran, mobiliti kerjaya dan kesiapsiagaan tenaga kerja.

 

“Bagi mereka yang sudah bekerja, program ini membuka peluang untuk meningkatkan kemahiran. Sebagai contoh, seseorang yang bekerja sepenuh masa sebagai pemandu e-hailing boleh menyertai program ini untuk mempelajari kemahiran baharu.

 

“Bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan pula, program ini akan membantu melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan industri, sekali gus memberi kelebihan daya saing dalam pasaran kerja.

 

"Sebagai contoh, individu berusia 16 hingga 50 tahun berpeluang mengikuti latihan peningkatan kemahiran dan latihan semula,” katanya.

 

Menurut Ramanan, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan kemahiran diterjemahkan kepada peluang sebenar untuk rakyat.

 

Selari Rancangan Malaysia Ke-13

Beliau berkata, Vetri Madani mewakili fasa seterusnya dalam memperkukuh pembangunan modal insan yang inklusif dan berteraskan komuniti, selaras dengan keutamaan negara yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13.

 

“Ini bukan sekadar soal angka, tetapi mengenai mewujudkan peluang sebenar yang mampu mengubah kehidupan. Vetri Madani direka bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya komuniti India, mendapat akses kepada kemahiran yang boleh meningkatkan kebolehpasaran dan prospek masa depan mereka,” katanya.

 

Beliau turut berkata, program itu memberi keutamaan kepada sektor berpermintaan tinggi dan berorientasikan masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, teknologi data dan awan, automasi, robotik serta kejuruteraan maju.

 

“Latihan akan dilaksanakan menerusi rangkaian penyedia latihan berdaftar HRD Corp, dengan kerjasama rakan industri serta pusat pembangunan kemahiran peringkat negeri. Model penyampaian yang fleksibel, menggabungkan pembelajaran fizikal dan hibrid, akan diguna pakai bagi meningkatkan akses serta penyertaan,” katanya.


 

Vetri Madani

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz (gambar, atas) berkata, fokus utama adalah memastikan latihan yang diberikan membawa hasil yang boleh diukur.

 

“Berdasarkan kemajuan dicapai menerusi Malaysian Indian Skills Initiative (MISI), seramai 8,719 rakyat Malaysia berketurunan India telah menerima latihan dari 2024 hingga 2025.

 

"Vetri Madani pula mewakili fasa baharu dalam memperkukuh sokongan kami kepada komuniti India Malaysia melalui pembangunan kemahiran,” katanya.

 

Beliau berkata, HRD Corp mahu memastikan setiap usaha itu diterjemahkan kepada hasil nyata, termasuk individu memperoleh kemahiran tepat, akses kepada peluang pekerjaan lebih baik serta peningkatan taraf hidup.

 

Terdahulu, kementerian memaklumkan Karnival Vetri Madani turut berperanan sebagai platform libat urus komuniti yang menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta, selain menampilkan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan kesedaran mengenai pembangunan kemahiran, peluang kerjaya dan pembelajaran sepanjang hayat. - DagangNews.com