VentureTech labur RM28 juta perkukuh keselamatan siber, infrastruktur digital rentas sempadan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

VentureTech labur RM28 juta perkukuh keselamatan siber, infrastruktur digital rentas sempadan

KUALA LUMPUR 19 Feb – Syarikat pelaburan impak disokong kerajaan, VentureTech Sdn Bhd, melabur sebanyak RM28 juta ke dalam Delta Spike Asia Sdn Bhd dan IX Telecom Sdn Bhd dalam usaha memperkukuh keupayaan keselamatan siber serta infrastruktur digital rentas sempadan negara.

 

Dalam kenyataan hari ini, VentureTech berkata pelaburan dalam Delta Spike akan memacu pembangunan berterusan platform keselamatan siber syarikat itu, meningkatkan kapasiti operasi serta menyokong peluasan pasaran ke peringkat serantau.

 

Langkah tersebut dilihat sejajar dengan keperluan mendesak untuk memperkukuh ekosistem keselamatan siber Malaysia susulan peningkatan ancaman digital yang semakin kompleks dan canggih.

 

Sementara itu, pelaburan dalam IX Telecom akan memberi tumpuan kepada peluasan operasi serantau dan pengkomersialan platform, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab kesalinghubungan digital serantau.

 

Inisiatif berkenaan juga dijangka membolehkan perusahaan tempatan dan serantau menikmati akses kepada rangkaian rentas sempadan yang lebih lancar dan berdaya saing.

 

Ketua Pegawai Eksekutif VentureTech, Ahmad Redzuan Sidek berkata, pelaburan tersebut mencerminkan komitmen syarikat dalam membangunkan syarikat milik Malaysia yang berdaya tahan dan berpotensi untuk berkembang secara mampan.

 

“Delta Spike dan IX Telecom masing-masing beroperasi dalam sektor kritikal kepada daya tahan negara, sama ada dalam aspek kesiapsiagaan keselamatan siber mahupun kesalinghubungan digital rentas sempadan.

 

“Dengan menyokong syarikat milik bumiputera yang mempunyai model perniagaan jelas dan keupayaan untuk diskalakan, kami memainkan peranan pemangkin dalam memperkukuh kapasiti jangka panjang negara, di samping membantu syarikat tempatan menembusi pasaran serantau dan global,” katanya.

 

VentureTech merupakan anak syarikat milik penuh Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) yang ditubuhkan bagi memangkin pertumbuhan industri tempatan, khususnya bumiputera, dalam sektor bernilai tambah tinggi dan berteknologi tinggi melalui pelaburan ekuiti strategik. - BERNAMA