Velesto peroleh kontrak penggerudian bernilai RM188 juta daripada PTTEP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Velesto peroleh kontrak penggerudian bernilai RM188 juta daripada PTTEP

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Julai — Firma pengendali pelantar 'jack-up', Velesto Energy Berhad memperoleh kontrak penggerudian terbaharu yang dianggarkan mencecah nilai AS$40 juta (kira-kira RM188 juta).


Kumpulan itu berkata, kontrak tersebut diberikan kepada anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Velesto Drilling Sdn Bhd, oleh syarikat PTTEP HK Offshore Ltd dan PTTEP Sarawak Oil Ltd.


Katanya, kontrak itu dikaitkan dengan perjanjian perkongsian pengeluaran PTTEP dengan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dalam kempen penggerudian 2025 hingga 2026 mereka di Malaysia.


"Ia melibatkan sejumlah 15 telaga, dengan pilihan sehingga lapan telaga tambahan dan operasi kontrak berkenaan sudah pun dimulakan pada Jun 2025," kata Velesto dalam satu kenyataan.


Projek terbaharu berkenaan tambah syarikat itu, akan dilaksanakan dengan menggunakan Naga 5, salah satu daripada pelantar 'jack-up' jenis premium yang dimiliki sendiri Velesto.


Penganugerahan tersebut turut merupakan rentetan pengumuman terkini Velesto mengenai kontrak untuk pelantar Naga 4 dan Naga 8 pada Mei 2025 berikutan peningkatan permintaan serantau.


Syarikat itu berkata, ia terus mendapat manfaat untuk pelantar 'jack-up' dan menjangkakan separuh kedua 2025 lebih aktif, disokong oleh tender mantap dan aktiviti stabil pelanggan.


Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim dalam kenyataan berkata, dengan beberapa pelantar di bawah kontrak jangka panjang, ia kekal komited terhadap disiplin operasi syarikat tersebut.


"Kami menjangkakan mampu merekodkan lebih banyak pelaksanaan kontrak yang berasaskan nilai dan mewujudkan pulangan secara mampan untuk para pemegang saham kami," kata beliau. 


Velesto memiliki dan mengendalikan sejumlah enam pelantar penggerudian 'jack-up' premium, yang bersesuaian untuk operasi kedalaman perairan cetek di seluruh rantau Asia Tenggara.


Kumpulan berkenaan juga menguruskan sebanyak dua unit kerja hidraulik, yang sering digunakan untuk campur tangan dalam operasi telaga dan segala perkhidmatan kerja gantian. - DagangNews.com