Velesto Energy lupuskan Velesto Workover Sdn Bhd pada harga RM16.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Velesto Energy lupuskan Velesto Workover Sdn Bhd pada harga RM16.5 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Dis – Velesto Energy Bhd mengumumkan pelupusan kepentingan ekuiti penuhnya dalam Velesto Workover Sdn Bhd (VWSB) pada harga RM16.5 juta secara tunai, sebagai sebahagian daripada usaha pengurusan portfolio dan pengoptimuman modal kumpulan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Velesto berkata anak syarikat milik penuhnya, Velesto Malaysian Ventures Sdn Bhd, telah memeterai Perjanjian Jualan Saham (SSA) dengan Enviros Survey & Consultancy Sdn Bhd bagi melupuskan keseluruhan pegangan dalam VWSB.

 

Pelupusan tersebut dijangka menghasilkan keuntungan kira-kira RM0.4 juta, berdasarkan aset bersih VWSB setakat 30 September 2025.

 

Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim berkata, langkah pelupusan itu selari dengan pendekatan kumpulan dalam menguruskan portfolio perniagaan.

 

“Pelupusan ini sejajar dengan usaha berterusan kumpulan untuk menyelaraskan operasi, menyokong pulangan kepada pemegang saham serta mengoptimumkan peruntukan modal.

 

"Pada masa sama, kami mengambil langkah berperingkat untuk membangunkan bidang pelengkap sejajar dengan hala tuju jangka panjang kumpulan bagi meneroka peluang yang dapat meningkatkan nilai,” katanya.

 

VWSB terlibat dalam penyediaan perkhidmatan workover, yang merupakan sebahagian daripada tawaran perkhidmatan huluan minyak dan gas Velesto.

 

Velesto berkata cadangan pelupusan itu dijangka diselesaikan pada separuh pertama tahun 2026. - DagangNews.com