KUALA LUMPUR 10 Jun - Penyedia rumusan kejuruteraan utiliti bawah tanah, UUE Holdings Berhad menerusi Kum Fatt Engineering Sdn Bhd menerima tiga kontrak baharu serta pembaharuan kontrak bernilai RM92.4 juta daripada Komasi Engineering Sdn Bhd.
Kum Fatt juga menerima pembaharuan kontrak sedia ada dengan Komasi Engineering, dengan nilai kontrak tambahan sebanyak RM13 juta, dengan sasaran penyiapan projek pada Jun 2026.
Kontrak asal, yang dianugerahkan oleh Komasi Engineering pada 2022, merangkumi pemasangan, pengujian, dan pentauliahan kabel bawah tanah 11kV dalam rangkaian pengedaran TNB serta aksesori untuk pembangunan aset di wilayah pantai timur Malaysia.
"Tiga kontrak baharu daripada Komasi Engineering, bernilai RM79.4 juta, akan melibatkan pemasangan, pengujian, dan pentauliahan kabel bawah tanah 11kV dan 33kV serta aksesori dalam rangkaian pengedaran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di wilayah pantai timur dan selatan Malaysia," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata, kontrak-kontrak itu adalah sebahagian daripada inisiatif pembangunan aset TNB, dengan tempoh kontrak merangkumi dua tahun dari tarikh pertama notis memulakan kerja dikeluarkan.
Kontrak-kontrak ini juga termasuk pilihan untuk lanjutan selama satu tahun. Ia dijangka meningkatkan jumlah perolehan kontrak UUE bagi tahun ini kepada RM184.5 juta.
Pengarah Urusan UUE, Datuk Dr Ting Kok Hwa berkata, selain daripada pembaharuan kontrak sedia ada, pihaknya turut gembira kerana memperoleh kontrak baharu.
Katanya, ia mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan pelaksanaan UUE, di samping memberi peluang kepada kumpulan untuk turut serta dalam pembangunan aset infrastruktur kritikal negara.
"UUE komited untuk meningkatkan rekod prestasi perniagaannya melalui pelaksanaan kontrak yang cemerlang, yang akan membolehkan kumpulan memperoleh lebih banyak pesanan dalam agenda menaik taraf dan membangunkan infrastruktur tenaga negara," katanya. - DagangNews.com








