KUALA LUMPUR 25 Feb - Senior Aerospace UPECA, menandatangani perjanjian dengan DHL Express bagi membolehkannya menggunakan bahan api penerbangan lestari (SAF) menerusi GoGreen Plus, dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon dalam penghantaran kargo udara antarabangsa.
Perjanjian itu membolehkan UPECA melabur dalam penggunaan SAF untuk mengurangkan sehingga 30% pembebasan karbon.
GoGreen Plus yang diperkenalkan oleh DHL kini merupakan satu-satunya rumusan dalam sektor logistik ekspres global, membolehkan pelanggan mengurangkan jejak karbon dengan memanfaatkan SAF dalam operasi pengangkutan.
SAF dihasilkan daripada bahan mentah yang boleh diperbaharui seperti minyak masak terpakai dan sisa lain, mengurangkan sekitar 80% pelepasan karbon berbanding bahan api jet konvensional.
Ketua Pegawai Eksekutif UPECA, Kavan Jeet Singh berkata, SAF adalah antara kaedah paling berkesan untuk mengurangkan karbon dalam penerbangan jarak jauh, selaras dengan usaha menjadikan industri penerbangan lebih lestari.
"Ia sedia digunakan dalam pesawat kami dan melengkapkan usaha untuk mengubah industri penerbangan menjadi lebih lestari.
"Kami sangat gembira bekerjasama dengan GoGreen Plus DHL Express dan membantu menyumbang kepada pasaran tenaga boleh diperbaharui," katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo pula berkata, SAF penting untuk menjadikan pengangkutan udara lebih bersih, tetapi masih banyak usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan penggunaannya.
"Penglibatan UPECA dalam inisiatif ini menunjukkan semakin banyak perniagaan ingin meneroka cara baharu untuk menjadikan operasi mereka lebih mesra alam.
"Kerjasama seperti ini sangat penting ketika kita terus menggalakkan penggunaan SAF untuk menangani cabaran iklim semasa," ujarnya.
UPECA akan menggunakan perkhidmatan GoGreen Plus dalam penghantaran kargo mereka yang melibatkan pasaran di Eropah dan Amerika Utara.
Dilancarkan pada 2023, GoGreen Plus wujud hasil kerjasama strategik DHL dengan bp dan Neste untuk mendapatkan sehingga 800 juta liter SAF, serta perjanjian dengan World Energy untuk membeli sehingga 668 juta liter SAF melalui sijil penerbangan lestari.
Rangkaian kargo udara menyumbang sekitar 70% daripada jejak karbon DHL Group, sekali gus menekankan kepentingan bahan api lestari bagi mengurangkan pelepasan karbon dalam industri berkenaan. - DagangNews.com








