KUALA LUMPUR 29 Julai — Sebahagian besar syarikat perladangan diramal mencatatkan untung rendah pada suku kedua disebabkan kos pembajaan tinggi, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan tersebut berkata, 2Q25 juga dijangka lebih lemah berbanding tempoh suku yang sebelumnya berikutan kemerosotan harga jualan minyak sawit mentah (MSM) dan isi rung komoditi itu.
Situasi semasa tambahnya, diburukan lagi dengan berlaku pula lambakan pengeluaran tuaian produk yang lebih tinggi dan pengenaan cukai keuntungan ke atas syarikat perladangan sejak awal tahun.
"Bagaimanapun pada asas tahun ke tahun (YoY), hasil teras majoriti dijangka lebih baik dipacu oleh perolehan yang lebih tinggi dan harga jualan tinggi isi rung," kata Maybank IB dalam satu notanya.
Tambah firma itu, dua syarikat berkemungkinan akan melaporkan keuntungan utama yang kukuh pada suku kedua, antaranya Genting Plantations Berhad yang dijana daripada keuntungan pelupusan tanah.
Sementara IOI Corporation Berhad diramal merekodkan keuntungan berikutan isu kadar tukaran mata wang asing yang tidak direalisasi atas pinjamannya dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).
Bagi segmen hiliran, Maybank IB melihat peningkatan dalam kadar penggunaan penapisan pada 2Q25 kepada 66 peratus, dan menambah baik bekalan MSM selain tahap penggunaan loji yang lebih tinggi.
Keluk Niaga Hadapan yang mendatar sepanjang 2Q25, berbanding mundur yang curam sepanjang 1Q25, juga mencadangkan margin penapisan sektor itu berkemungkinan telah pun stabil dan bertambah baik.
"Keadaan ini juga boleh bermakna potensi hapus kira atau kemungkinan pengiktirafan keuntungan penilaian saksama ke atas instrumen kewangan derivatif pada tempoh suku kedua," kata firma berkenaan.
Berdasarkan situasi itu, Maybank IB masih mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas sektor perladangan dengan saranan 'beli' ke atas SD Guthrie Berhad dan Sarawak Oil Palms Berhad. - DagangNews.com








