Untung CelcomDigi dianggar susut hanya 2% pada FY26 hasil inisiatif penjimatan operasi, kata PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung CelcomDigi dianggar susut hanya 2% pada FY26 hasil inisiatif penjimatan operasi, kata PublicInvest

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 17 JulaiPublic Investment Bank (PublicInvest) menganggarkan keuntungan bersih CelcomDigi Berhad hanya terjejas 2% bagi FY26 hasil pelaksanaan inisiatif penjimatan operasi.

 

Menurutnya, usaha itu dijangka menjana penjimatan kos yang besar dan mampu mengimbangi sebahagian besar impak kerugian Digital Nasional Berhad (DNB) terhadap prospek jangka sederhana kumpulan.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat berkenaan dan harga sasaran (TP) RM3.50 sesaham, kerana percaya isu kerugian sudah diambil kira.

 

"Kami menilai prospek jangka panjang CelcomDigi akan bertambah baik apabila operasi DNB menjadi lebih stabil, dengan kesan terhadap keuntungan hanya satu suku bagi FY26," kata PublicInvest.

 

Tambahnya, kumpulan telekomunikasi tersebut dijangka mula merekodkan bahagian keuntungan atau kerugian DNB dengan menggunakan kaedah perakaunan ekuiti bermula penghujung 3QFY26 atau 4QFY26.

 

DNB merekodkan kerugian bersih RM1.2 bilion pada 2024, dan dijangka meningkat pada FY26 sebelum mengecil mulai FY27 apabila struktur pemegang saham dimuktamadkan pihak terlibat lebih jelas.

 

CelcomDigi_DagangNews2026

 

Berdasarkan analisis PublicInvest, setiap tambahan RM200 juta kerugian dicatatkan DNB, dijangka mengurangkan lagi keuntungan bersih CelcomDigi sekitar 1% selepas penyatuan penyata kewangan.

 

"Bagaimanapun, impak ini dijangka susut menerusi program penjimatan operasi yang dilaksanakan syarikat dengan setiap penjimatan RM50 juta mampu meningkatkan keuntungan sekitar 2%," tambahnya.

 

Justeru, setelah diambil kira faktor tersebut, ia menganggarkan keuntungan bersih FY26 hanya terjejas 2%, berbanding penurunan 6% sekiranya tiada inisiatif penjimatan dilaksanakan langsung.

 

Pengurusan CelcomDigi sebelum ini ujar PublicInvest, menyasarkan penjimatan RM450 juta bagi FY26, dengan RM40 juta telah berjaya direalisasikan pada suku pertama tahun kewangan berkenaan.

 

Bagi FY27 pula, ia menurunkan unjuran keuntungan sebanyak 13% selepas mengambil kira kesan setahun penuh penyatuan kerugian DNB, dengan andaian isu kerugian berkenaan dijangka semakin mengecil.

 

"Menjelang FY28, kami menjangkakan penjimatan yang lebih tinggi, digabungkan dengan peningkatan kecekapan operasi DNB apabila skala perniagaannya mula berkembang positif," kata firma tersebut.

 

PublicInvest namun menegaskan risiko masih wujud sekiranya kerugian DNB lebih tinggi daripada jangkaan atau penjimatan di bawah program gagal mencapai sasaran yang ditetapkan. - DagangNews.com